MACHANG, 4 Julai - Program CSR: Count On Success anjuran Fakulti Perakaunan dan pelajar semester 7 Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan telah berlangsung dengan jayanya pada 24 Jun 2023 bertempat di Blok D, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah melibatkan seramai 41 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan 109 pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah Machang. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendorong pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah berkenaan konsep asas perakaunan, memberi informasi awal halatuju profesion perakaunan, menerapkan pembelajaran pengurusan risiko kepada pelajar sekolah menengah serta pendedahan mengenai isu-isu keselamatan siber oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan.
Program ini turut dihadiri Deputi Superintendan Mohamad Zahir Abdullah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Kelantan bagi slot Ceramah Risiko Keselamatan Siber (Cybersecurity). Slot ceramah ini diharapkan dapat memberi input kepada para pelajar SMKA Wataniah dan para pelajar UiTM tentang ancaman bahaya jenayah siber yang semakin berleluasa pada masa kini.
Selain itu, para pelajar SMKA Wataniah Machang juga turut terlibat dalam slot explorace yang diketuai oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UiTMCK sebagai fasilitator. Slot explorace ini merupakan aktiviti di mana para pelajar akan bermain permainan sambil mempelajari ilmu perakaunan seterusnya mempraktikkan ilmu pengetahuan mereka dalam subjek perakaunan. Dengan adanya program seperti ini, maka terbinalah hubungan kerjasama antara UiTM Cawangan Kelantan dan SMKA Wataniah Machang. Akhir kalam, program ini diharapkan dapat memberi impak yang positif, pengetahuan yang lebih meluas kepada para pelajar dan halatuju masa depan yang cerah dalam bidang perakaunan di UiTM.
Program ini telah menerima sumbangan makanan petang daripada pihak McDonald's Tanah Merah untuk para peserta, jawatankuasa pelaksana, dan tetamu jemputan. Sumbangan ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselesaan dan kepuasan peserta serta menambah elemen kegembiraan dalam program ini. Kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan dan McDonald's Tanah Merah merupakan salah satu inisiatif memperkukuhkan sinergi antara institusi akademik dan organisasi luar, serta memperluas rangkaian sumber yang mampu memberikan manfaat tidak hanya kepada pelajar dan universiti, tetapi juga kepada komuniti di sekitarnya.
Penyedia Laporan:
Nurul Shahirah Binti Kamaludin
Setiausaha Program
Program CSR: Count On Success