Program Jelajah Ilmu 1.0 (School Attack @ SKLK)

GUA MUSANG, 4 Julai - Program Jelajah Ilmu 1.0 ini telah dianjurkan oleh Fakulti Perakaunan UiTMCK bersama-sama rakan kolaborasi dan kerjasama terdiri daripada persatuan dalaman dan agensi luar seperti Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs), Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1, Yayasan Bank Rakyat, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Masjid Mukim Jajahan Limau Kasturi dan Klinik Pergigian Jeram Tekoh. Program ini telah dianjurkan selama 3 hari 2 malam iaitu pada 22 hingga 24 Jun 2023.

Program Jelajah Ilmu 1.0 Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) adalah satu program yang diadakan bagi memenuhi tanggungjawab sosial universiti kepada Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1, Gua Musang. Inisiatif ini diambil bagi mendekati komuniti luar bandar dengan mewujudkan platform berkongsi ilmu di antara mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTMCK dan para pelajar Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1, Gua Musang.

Objektif program ini adalah untuk memantapkan kredibiliti UiTMCK sebagai sebuah institusi yang prihatin dan cakna dengan komuniti luar bandar, melalui kolaborasi di antara Fakulti Perakaunan, persatuan dalaman (MemBACCs), Sek. Keb. Limau Kasturi 1 Gua Musang, Yayasan Bank Rakyat, Bank Rakyat Gua Musang, Masjid Mukim Jajahan Limau Kasturi dan Klinik Pergigian Jeram Tekoh. Selain itu, program sebegini dapat mewujudkan platform perkongsian ilmu dan pengalaman di antara mahasiswa Fakulti Perakaunan dengan komuniti di luar bandar khususnya para pelajar di Sek. Keb. Limau Kasturi 1, Gua Musang serta dapat meningkatkan kemahiran insaniah dan kualiti kepimpinan di kalangan mahasiswa dalam menganjurkan program khidmat kesukarelawan dan jalinan bersama dengan komuniti luar bandar.

Seterusnya, program ini telah melibatkan seramai 16 orang pelajar UiTMCK sebagai fasilitator, 4 orang penasihat dan 39 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1. Terdapat pelbagai slot yang menarik telah dijalankan antaranya slot bersama Klinik Pergigian Gua Musang iaitu “Ceramah Kesihatan Pergigian”. Ceramah ini disampaikan oleh Dr. Amir Syahiran Mohd Anuar, Pegawai Pergigian Daerah Gua Musang.

Slot seterusnya diteruskan lagi dengan slot ceramah pemantapan solat di Masjid Mukim Limau Kasturi. Sesi ceramah disampaikan oleh Ustaz Mohd Amirul Mukmin Hussin, Imam Muda Masjid Mukim Limau Kasturi.

Pada sebelah petang pula, aktiviti diteruskan lagi dengan slot Klinik Sains. Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya Human Bingo, Scheme Hunting dan Popsicle Bridge. Aktiviti-aktivti ini dijalankan dengan tujuan bagi meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan ingatan pelajar mengenai topik yang berkaitan di samping melatih pelajar untuk bekerja secara berkumpulan.

Pada waktu malam pula, aktiviti malam kebudayaan turut diadakan. Pada malam kebudayaan, terdapat beberapa aktiviti antaranya persembahan oleh para pelajar serta persembahan oleh fasilitator.

Pada 26 Jun 2023, iaitu hari Sabtu, slot Klinik Matematik diadakan. Klinik Matematik ini dijalankan bagi meningkatkan kecerdasan minda pelajar dengan menjawab soalan sifir dengan cepat dan meningkatkan daya ingatan serta penghafalan sifir. Antara aktiviti menarik dijalankan sewaktu Klinik Matematik ini adalah Snake Ladder Climb The Number, Sifir Turbo dan Stand up or Sit Down.

Akhir sekali, Majlis Perasmian Penutup berlangsung pada 26 Jun 2023 iaitu pada hari terakhir Program Jelajah Ilmu 1.0. Tuan Haji Saharuddin Abdullah, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang telah hadir bagi merasmikan majlis penutup program. Antara tetamu kehormat lain yang hadir adalah Pn. Siti Norazmawaty Abd Razak, Koordinator Program Diploma Fakulti Perakaunan bagi mewakili UiTMCK, Datin Noorzilawati Ab Rahim, Guru Besar SK Limau Kasturi 1, Encik Mohd Nasrullazam Ibrahim, Penolong Pengurus Bank Rakyat Cawangan Gua Musang serta Ustaz Mohd Amirul Mukmin Hussin, Imam Masjid Mukim Kampung Limau Kasturi.

Majlis ini disempurnakan dengan gimik perasmian iaitu tayangan video dan tandatangan oleh Tuan Haji Saharuddin di bunting yang disediakan.

Dalam majlis penutup ini juga turut diadakan majlis penyerahan Mock Cheque yang disampaikan oleh pihak Bank Rakyat Gua Musang kepada UiTMCK. Untuk pengetahuan, Bank Rakyat merupakan penaja utama bagi Program Jelajah Ilmu 1.0 pada kali ini.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Arifah Baharim
Setiausaha Program
Program Jelajah Ilmu 1.0