MACHANG, 25 Mei - Fakulti Perakaunan dengan FAMA Kelantan telah bekerjasama mengadakan Seminar Perekodan Kewangan Secara Digital pada 21 Mei 2023. Kursus ini telah dihadiri oleh 24 pengusaha kecil dan sederhana di bawah pentadbiran FAMA yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan di RTC Tunjong. Menurut pengarah projek seminar ini Profesor Madya Dr. Maheran Zakaria, seminar ini bertujuan untuk mendedahkan kepada pengusaha tentang pentingnya menguruskan kewangan perniagaan secara teratur dan sistematik bagi memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju dan mampu berdaya saing dengan perusahaan yang lebih besar di luar sana. Apa yang lebih menarik, seminar ini turut memperkenalkan aplikasi perekodan kewangan secara digital yang dikenali sebagai “Buku Kedai” untuk membantu peniaga lebih celik teknologi bagi membantu memudahkan urusan perniagaan mereka. Kursus ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah FAMA Kelantan iaitu Puan Rashiha Mamat yang turut berterima kasih kepada UiTM Cawangan Kelantan atas usaha yang sangat membantu kepada pengusaha-pengusaha di bawah FAMA. Beliau berharap kursus ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memantapkan lagi perekodan kewangan peniaga-peniaga.
Penyedia Laporan:
Fakulti Perakaunan