MACHANG, 30 Mac – Pihak Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan berbesar hati telah menerima kunjungan hormat delegasi dari Universitas Muslim Nusantara Al Washliyah, Medan, Indonesia (UMNAW) pada 18 hinga 20 Mac 2023 yang lalu. Delegasi disertai oleh 5 orang wakil daripada UMNAW iaitu Dr. H. Firmansyah, Wakil Rektor Bidang Akademik, Dr. Anwar Sadar, Wakil Rektor Bidang Kemahasiswaan dan Kerjasama, Dr. Anggia Sari Lubis, Dekan Fakultas Ekonomi, Dewi Nurmala, Dekan Fakultas Sastra dan Dr. Asnawi, Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan.
Delegasi berpeluang berjumpa dengan Ketua-ketua Pusat Pengajian semua fakulti termasuk Institut Pengajian Siswazah (IPSIS) di UiTMCK dan mengadakan Mesyuarat Kolaborasi Antarabangsa yang membincangkan halatuju serta perancangan-perancangan program kerjasama untuk meningkatkan kecemerlangan akademik terutamanya di kedua-dua universiti. Hasil perbincangan akan diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan yang akan dijalankan dari masa ke semasa. Mereka juga turut menunjukkan minat yang tinggi terhadap produk keluaran UiTMCK iaitu Batik Kemuning, Kemuning Serunding, Nanas MD2, dan produk Serunding Halia hasil projek agrobisnes Halia Bentong UiTMCK.
Program kemudian diteruskan dengan Majlis Menandatangani MoU Antara UiTM dengan UMNAW yang dihadiri oleh semua delegasi UMNAW dan pengurusan tertinggi UiTMCK yang diketuai oleh Prof. Dr. Hj. Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jalinan Industri dan Alumni, Dr. Khalid Abdul Wahid, Penolong Rektor Kampus Kota Bharu, Ketua-ketua Pusat Pengajian, pensyarah dan pelajar-pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Rektor UiTMCK dalam ucapannya berharap agar hubungan kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak terutama pelajar, pendidik, dan komuniti.
Majlis turut disertai oleh para pelajar kerana mereka berpeluang menyertai Visiting Lecture yang disampaikan oleh kesemua 5 wakil UMNAW yang hadir. Syarahan yang diberikan oleh kesemua wakil bertemakan Enterprenuership Based on Local Wisdom. Maklum balas positif diterima oleh para hadirin yang menyifatkan program seumpama ini harus diteruskan pada masa akan datang.
Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar negeri Kelantan termasuk KB3D Art & Heritage Centre yang merupakan projek kerjasama UiTMCK dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Ia merupakan Muzium 3D Kota Bharu yang pertama dan terbesar di Pantai Timur. Program kunjungan hormat pada kali ini berjaya mencapai objektif-objektif yang ditetapkan dan semoga hubungan kerjasama antarabangsa ini akan terus meningkatkan kecemelangan UiTM dan UMNAW.
Penyedia laporan:
Puan Rohazlyn Rosly
Department of International Affairs
UiTM Cawangan Kelantan