Program “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2

MACHANG, 21 MacProgram “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 telah diadakan pada 16 Mac 2023 dan ianya mendapat sambutan yang sangat positif dari staf UiTM Cawangan Kelantan. Program ini merupakan hasil buah fikiran daripada Rektor UiTM Cawangan Kelantan sendiri iaitu Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi.

 

 

 

Matlamat dan tujuan penganjuran program “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 adalah merupakan satu aktiviti yang dicadangkan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi dimana ianya melibatkan aktiviti eksplorasi merangkumi kawasan di dalam UiTM Cawangan bermula di Medan Kawad Tun Dr. Mahathir dan berakhir di Ladang Nanas Bukit Ilmu. Program ini dilakukan dengan aktiviti berjalan beramai-ramai serta dilakukan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap kecergasan diri serta pada masa yang sama menggalakkan peserta untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kawasan seluas 1.8km telah berjaya diharungi oleh para peserta, hebat bukan?

 

 

 

Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi memilih untuk mengadakan “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 ini kerana beliau sendiri menyukainya dan berbeza dengan kebanyakan aktiviti senaman yang lain. “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 ini juga merupakan aktiviti yang mempunyai tahap risiko yang sedikit tinggi dari segi kecederaan tetapi tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan. Kelebihan “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 adalah sedikit berbeza dari siri yang pertama dimana ianya dapat membuka minda dan juga melatih daya ketangkasan para peserta, tidak lupa juga ianya baik untuk tahap kesihatan jantung, menurunkan kadar tekanan darah tinggi dan diabetes malahan ianya juga bagus untuk mengawal berat badan. Jadi tidak salah untuk kita menjadi lebih sihat melalui kaedah yang jimat tetapi gembira.

 

Seterusnya, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada staf bahawa pentingnya menjaga ‘healthy lifestyle & happiness index’. Program yang bersifat santai dan mengambil masa kira-kira 1 jam ini telah disertai seramai 40 orang peserta yang telah mendaki dengan jayanya. Para peserta menyelesaikan pendakian mereka tanpa mendapat sebarang kecederaan. Peserta juga didedahkan dengan kepelbagaian dan keindahan yang tersirat di sebalik Bukit Ilmu ini, seperti sungai yang jernih, kehijauan flora alam sekitar dan kepelbagaian fauna. Aktiviti seperti ini membawa perubahan kepada gaya hidup staf yang sebelum in kebiasaannya bekerja di dalam pejabat.

Walaupun “Nature Trekking on Campus with Rector” Siri ke-2 ini sedikit sukar untuk dilakukan, namun terdapat beberapa cara dan panduan yang perlu diketahui sebelum memulakan sesi pendakian. Program bermula dengan regangan otot dan sesi taklimat diberikan oleh Unit Sukan bagi memastikan semua staf dapat bersenam dengan cara yang betul dan sihat, serta mengelakkan daripada berlakunya kecederaan pada sendi dan otot. Selama 30 minit diluangkan di dalam sesi permulaan dimana barisan staf didedahkan dengan panduan-panduan senaman dan aktiviti regangan.

Bersenam sudah, mendaki pun sudah, akhirnya di check point yang terakhir iaitu di Ladang Nanas Bukit Ilmu, kesemua peserta disajikan dengan kemanisan buah nanas MD2 yang diusahakan sendiri oleh warga UiTM Cawangan Kelantan. Terukir senyuman diwajah setiap peserta bila mengetahui bahawa sajian buah-buahan yang terhidang dan dinikmati adalah merupakan sumbangan dari Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi sendiri sebagai tanda sokongan kepada produk UiTMCK. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Rektor, Bahagian Pentadbiran dan Unit Sukan UiTMCK. Program seperti ini akan menjadi salah satu program berterusan yang bakal dilakukan di setiap bulan dan disertai oleh semua staf UiTMCK bagi memastikan semua staf sentiasa berada dalam keadaan yang sihat, bertenaga dan gembira. Semoga nilai positif yang diterima oleh staf yang terlibat dapat diterjemahkan dalam meningkatkan mutu kualiti kerjaya sendiri dan juga buat universiti.

 

Penyedia Laporan:

Unit Komunikasi Korporat, UiTMCK