Machang, 13 Mac - Tanggal 26 Februari 2023 iaitu pada hari Ahad, Yang Berhormat Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan telah melawat tapak Projek Komuniti Cendawan berasaskan IoT di UiTM Cawangan Kelantan. Projek Komuniti Cendawan berasaskan IoT ini adalah hasil kerjasama di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan UiTM Cawangan Kelantan.
Tujuan utama projek ini dijalankan adalah untuk membantu komuniti setempat dalam menjana pendapatan dan juga meningkatkan taraf hidup mereka. Projek ini bermula pada awal bulan Februari dan telah menggunakan peruntukan sebanyak RM 31,000. Projek ini juga mendapat suntikan dana dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK). Selain itu, projek inkubator ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperolehi kemahiran dalam penanaman cendawan sebagai nilai tambah apabila mereka bergraduasi nanti terutamanya kepada mereka yang tergolong dalam golongan B40 dan asnaf. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, ianya dapat membantu graduan untuk memulakan perniagaan sendiri dan tidak perlu bergantung kepada pekerjaan di sektor awam yang dilihat semakin kompetitif. Selain itu juga, projek inkubator ini secara tidak langsung telah menyahut seruan kerajaan dalam menubuhkan lebih banyak pusat jaminan makanan.
Penyedia Laporan:
Dr. Hatinah Abu Bakar
Koordinator
Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN)