Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti 2022 UiTM Cawangan Kelantan

Machang, 6 Mac - Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan 2022 telah diadakan pada 01 Mar 2023 dengan tema pakaian “Cantik Bergaya Batik Malaysia”. Majlis tahunan seperti ini telah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid 19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020. Kali terakhir penganjuran majlis ini adalah pada 21 November 2019. Majlis yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA bersama YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawagan Kelantan dan Barisan Pengurusan UiTMCK.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada gabungan mantap staf UiTM Cawangan Kelantan yang telah membina ukhwah dan bergabung tenaga dalam merealisasikan Majlis Kemuncak Inovasi dan Kualiti UiTM Cawangan Kelantan pada kali ini. Bertemakan “Transformasi Minda ke Arah Inovasi Global” majlis ini diadakan pada setiap tahun dengan tujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaan kerja, serta pembudayaan ciri-ciri inovatif dan kreatif dalam perkhidmatan.

Justeru itu, pada kali ini pihak Universiti bakal memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada kejayaan staf UiTM Cawangan Kelantan berasaskan inovasi, kreativiti dan kecemerlangan kualiti. Pada kebiasaannya, sambutan Majlis Inovasi & Kualiti ini diadakan pada akhir tahun, namun pada tahun ini ianya diadakan pada permulaan tahun bagi mempertingkatkan keazaman dan tekad warga UiTM Cawangan Kelantan untuk terus memperkasakan gerakan membawa UiTM menuju kecemerlangan kearah pelan Globally Renowned University’ (GRU) 2025.

Kita telah banyak belajar daripada Covid 19 yang telah membawa impak yang begitu besar di seluruh dunia termasuk di UiTM. Namun, dalam menghadapi kemelut ini aktiviti inovasi tidak pernah terhenti malahan terus dipertingkatkan lagi bagi memastikan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penulisan dan pelbagai aktiviti universiti tidak terhalang oleh Covid 19. Malahan kecemerlangan dapat ditingkatkan lagi dengan kreativiti, inovasi dan teknologi. Tambahan lagi, perkongsian ilmu merentas dunia dapat dijayakan dari ruang pejabat masing-masing sekaligus mematuhi SOP Covid 19 yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Pelbagai pencapaian gemilang telah berjaya diraih oleh warga UiTM Cawangan Kelantan sepanjang tahun 2020, 2021 dan 2022. Majlis ini juga merupakan hari gemilang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada staf yang telah menabur bakti berkhidmat kepada UiTM. Hari ini kita juga turut raikan staf UiTM Cawangan Kelantan yang telah bersara pada 2020, 2021 dan 2021. Di samping itu, kita juga meraikan warga kampus yang telah berkhidmat selama 20 tahun. 25 tahun dan 30 tahun. Semoga warga UiTM yang berikut terus menabur bakti, memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman dengan yang baharu dengan penuh keikhlsaan dan tanpa rasa jemu.

Pada majlis ini juga, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawagan Kelantan dan Barisan Pengurusan UiTMCK mengambil peluang melihat product hasil dari UiTMCK sendiri iaitu hasil tanaman cendawan secara Inkubator, hasil tanaman Nanas Bukit Ilmu jenis MD2, Serunding Halia Bentong dan juga Batik Kemuning.

Pada majlis ini juga kita turut meraikan seramai 164 Penerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2019, 2020 dan 2021 yang belum sempat diraikan dalam acara gemilang sepertimana kebiasaannya. Semoga penghargaan dan anugerah yang akan disampaikan pada hari ini akan terus memberi semangat kepada semua untuk terus mengekalkan budaya kerja cemerlang dan berkualiti sepanjang perkhidmatan.

Kepada semua warga UiTM Cawangan Kelantan yang turut memeriahkan sambutan Majlis kemuncak Inovasi & Kualiti pada kali ini, wujudkan persaingan yang sihat serta budaya kerja yang kondusif di kalangan staf pejabat masing-masing dalam menjalankan tugasan seharian dengan lebih efektif dan efisien. Ini akan dapat mewujudkan modal insan yang proaktif dan inovatif dalam menyokong usaha UiTMCK ke arah kecemerlangan selaras dengan kehendak university untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia.

Akhir kata, sama-sama lah berpimpin tangan dan berganding bahu bagi memastikan kegemilangan seperti ini dapat terus dikekalkan dan dipertingkatan oleh UiTM Cawangan Kelantan bagi tahun 2023.

Berikut pautan video Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan 2022: https://youtu.be/gJWNfKqQ2WA

Penyedia Laporan:
Unit Komunikasi Korporat
UiTM Cawangan Kelantan