Program Lambaian Haramain Dhuyufurrahman: Pengenalan Ibadat Umrah

MACHANG, 14 Februari - Biro Akademik & Peningkatan Diri Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI) UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Program Lambaian Haramain Dhuyufurrahman: Pengenalan Ibadat Umrah pada 09 Februari 2023 yang lalu. Tujuan utama program diadakan adalah untuk memberi pendedahan tentang ibadat umrah dan pada masa yang sama menanamkan cita-cita untuk menunaikan ibadat umrah di kalangan warga UiTM Cawangan Kelantan serta UiTM cawangan dan Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Hasil inisiatif PEWANI UiTM Cawangan Kelantan, program ini berjaya dianjurkan dan sesi perkongsian penuh dengan input-input yang berguna berkaitan dengan ibadat umrah.

Pengarah program pada kali ini ialah Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff dan program berlangsung secara atas talian melalui platform Cisco Webex. Program berlangsung dengan jayanya serta sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan kehadiran peserta seramai 962 orang yang terdiri daripada staf UiTM Cawangan Kelantan dan juga peserta-peserta luar. Program bermula pada pukul 10:00 pagi dan tamat pada pukul 12:30 tengah hari. Penceramah jemputan program adalah Puan Hjh. Siti Maziah Ab Rahman yang merupakan Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan dan Puan Shalwati Ramli selaku moderator.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Faiez Suhaimin dan diikuti dengan sesi perkongsian oleh Puan Hjh. Siti Maziah Ab Rahman yang merangkumi pengalaman mengerjakan ibadat umrah serta pendedahan secara teori tentang ibadat umrah. Selain daripada itu, program ini dapat memantapkan tahap kefahaman peserta terhadap konsep ibadat umrah sebagai satu pengenalan awal dalam pelaksanaan ibadat umrah serta menyemai niat untuk dijemput sebagai ‘dhuyufurrahman’, seterusnya memulakan langkah awal persediaan untuk melaksanakan ibadat umrah dengan lebih sempurna. Semoga program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan di masa hadapan dan disertai oleh lebih ramai peserta agar ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan UiTM khasnya dan umumnya kepada negara Malaysia.

Penyedia Laporan:
Puan W. Nurfahizul Ifwah W. Alias
Setiausaha Program