Program Colour Run 2022

MACHANG, 21 Disember – Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Outdoor Recreation Club (ORC) telah berjaya mengadakan Program Colour Run berkolaborasi bersama Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) pada 17 Disember 2022 bertempat di Kompleks Sukan B, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Program yang penuh berwarna warni itu telah disertai oleh sebahagian mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan. 

Kolaborasi antara Outdoor Recreation Club (ORC) dan Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) ini telah berjaya mencapai objektifnya untuk merapatkan hubungan ukhuwah diantara warga UiTM Kelantan. Selain itu, secara tidak langsung dapat mewujudkan budaya sihat di kalangan para mahasiswa. Seramai lebih kurang 600 orang pelajar telah menyertai program tersebut. Sebelum acara larian dimulakan, peserta diminta untuk bersama sama mengambil bahagian bagi sesi senamrobik bagi memanaskan badan dan meregangkan otot. 

Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Encik Muzammel Che Musa, Penasihat Jawatankuasa Sukan Pelajar merangkap Pemangku Ketua Unit Sukan UiTM Cawangan Kelantan. Walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai, peserta tetap bersemangat untuk meneruskan larian hingga ke garisan penamat. Kegigihan yang ditunjukkan oleh peserta menyumbang kepada kejayaan program yang telah dianjurkan. Lebih kurang 20 minit larian, sudah terdapat peserta yang telah menghabiskan larian mereka. Setiap peserta yang menamatkan larian akan diberi pingat dan e-sijil sebagai tanda penghargaan.

Tidak lengkaplah program jika tidak mempunyai majlis perasmian. Setelah tamat acara larian, berawankan hujan rintik, Majlis Perasmian Program Colour Run telah disempurnakan oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar. Kemudian, acara gimik dimulakan sebagai tanda rasminya Program Colour Run. Setelah itu, program diteruskan dengan sesi Colour Shower. Semua peserta diberikan 2 paket colour powder yang berlainan warna untuk sesi Colour Shower.

Penyedia laporan:
Cik Siti Nur Syahirah Said Koyanyikoya
Setiausaha 
Program Colour Run 2022
UiTM Cawangan Kelantan