Program Semarak Kasih UiTMCK & POKB: Sentuhan Nurani, Santuni Komuniti

MACHANG, 7 September - Satu program kemasyarakatan yang diberikan nama ‘Semarak Kasih UiTMCK & POKB’ telah berjaya dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa (APB), Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (BPJIA) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).   Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif berkongsi rezeki dan memberi peluang kepada warga untuk bersama-sama membantu dengan menghulurkan sumbangan ikhlas dalam bentuk pakaian (baharu atau terpakai) dan barangan keperluan asas kepada warga asnaf dibawah kelolaan POKB.

Program ini telah disempurnakan dengan satu majlis simbolik penyerahan sumbangan yang telah dikumpulkan oleh pihak UiTMCK kepada pihak POKB yang bertempat di UiTMCK, Kampus Machang pada jam 10:30 pagi sehingga 12:30 tengah hari. Majlis yang bermakna ini telah diserikan dengan kehadiran para pentadbir UiTMCK dan Prof. Dato’ Dr. Abdul Aziz Ab. Latiff, selaku Timbalan Presiden POKB serta wakil-wakil POKB yang lain. Para tetamu juga telah dibawa untuk menandatangani buku pelawat sebagai tanda kenangan rasmi kehadiran mereka ke UiTMCK, Kampus Machang sejurus ketibaan mereka. Dr. Suryani Awang telah dipilih sebagai wakil pihak pengurusan UiTMCK telah menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada Prof. Dato’ Dr. Abdul Aziz Ab. Latiff.

Kesemua hasil sumbangan telah dihantar oleh pihak UiTMCK ke Rumah Kaseh OKB, Kota Bharu pada hari yang sama sejurus selesai majlis simbolik penyerahan sumbangan. Pihak POKB sebagai penganjur bersama bakal menyampaikan sumbangan ikhlas ini kepada mereka yang memerlukan di sekitar Jajahan Kota Bharu.

Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, iaitu dermawan. Allah dan Rasul-Nya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah. Melalui usaha menjayakan program ini, diharapkan semua warga UiTMCK mendapat peluang untuk meneladani Rasulullah S.A.W. untuk meraih pahala dan kelebihan bersedekah ini.

Bukan itu sahaja, dengan adanya program ini, diharapkan semua warga UiTMCK dapat meluahkan rasa dan nilai kesyukuran melalui budaya saling membantu. Juga, dapat membudayakan sifat-sifat kemanusiaan dalam setiap individu secara holistik melalui keikhlasan amal bakti dan kesediaan untuk berkongsi dan memberi. Akhir sekali, dapat menzahirkan sifat prihatin dan sayang antara satu sama lain.

Penyedia laporan:

Pn. Norhafizan Awang

Setiausaha

Program Semarak Kasih UiTMCK & POKB