Kemenangan Tempat Ke-3 Majlis Perwakilan Komander Kesatria UiTM Cawangan Kelantan dalam Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Kelantan

MACHANG, 7 September - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menjemput Majlis Perwakilan Komander UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang untuk menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan pada 31 Ogos 2022. Sambutan Hari Kebangsaan ini bertempat di Padang Stadium Mini Majlis Perbandaran Ketereh - Perbandaran Islam, Kota Bharu, Kelantan. 

Sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini amat meriah di seluruh negara tidak terkecuali Kelantan kerana telah dua tahun ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, rakyat Malaysia tidak berpeluang lagi menyambut Hari Kebangsaan secara besar-besaran seperti kebiasaannya. Pada tahun ini buat kali pertama setelah pandemik COVID-19, UiTM Cawangan Kelantan telah menghantar seramai 35 orang komander dan seorang pegawai kokurikulum untuk menyertai acara perbarisan bagi Peringkat Negeri Kelantan.

Komitmen dan kesungguhan yang tinggi telah ditunjukkan oleh kontinjen UiTM bermula daripada hari pertama latihan raptai perbarisan sehinggalah hari kejadian telah membuahkan hasil sehingga mendapat tempat ketiga terbaik keseluruhan daripada 48 kontinjen yg terdiri daripada pelbagai jabatan yang berada di Negeri Kelantan. Kontinjen UiTM Cawangan Kelantan telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga terbaik, membawa pulang sebuah piala dan wang tunai sebanyak RM800.00.

Dengan penyertaan aktiviti patriotisme ini, diharap agar dapat meningkatkan lagi semangat dan jati diri setiap warga UiTM Cawangan Kelantan. Diharapkan juga, penyertaan ini dapat memotivasikan para pelajar dan kakitangan lain untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang bertemakan patriotisme dan aktiviti-aktiviti berfaedah yang lain.

Penyedia laporan:

Leftenan (Kesatria) Mohd Hafiz Bin Zali 

Pembantu Kokurikulum

Unit Kokurikulum Bahagian Hal Ehwal Pelajar

UiTM Cawangan Kelantan