MACHANG, 13 Jun - Program Festival Kolej atau dikenali sebagai FESKO ke-15 anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non Resident telah dianjurkan pada 9 – 13 Mei 2023 di Medan Ilmu, UiTM Cawangan Kelantan.
Objektif utama program FESKO Ke-15 ini adalah untuk menghasilkan mahasiswa yang bijak dalam menangani segala masalah secara lebih sistematik, meningkatkan kemahiran berpersatuan dalam diri ahli jawatankuasa dari segi penganjuran program di UiTM malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengumpul merit berdasarkan komitmen mereka dengan menghadiri program-program yang dianjurkan. Terdapat pelbagai aktiviti dan pengisian yang ada, di mana melibatkan semua Kelab/ Persatuan,Kolej Kediaman dan komuniti luar.
Pihak Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non Resident menganjurkan program ini adalah untuk menjadikan FESKO Ke-15 ini sebagai program tahunan yang mampu memberikan impak-impak yang positif dalam diri mahasiswa agar bersaing dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan sekaligus menjadikan UiTM Cawangan Kelantan sebagai satu institusi pengajian tinggi yang melahirkan mahasiswa kelas pertama.
Seterusnya, program ini telah melibatkan seramai 91 orang Ahli Induk bersama 20 orang penyelaras dan penasihat. Dengan berlangsungnya program ini selama 5 hari 5 malam, seramai 3076 sasaran peserta program dan ribuan pengunjung yang hadir semasa program dijalankan.
Terdapat pelbagai gerai jualan yang telah dibuka pada FESKO ke-15 kali ini. Sebanyak 50 gerai jualan telah dibuka bagi memeriahkan lagi program ini. Sukacita juga dimaklumkan bahawa Program FESKO ke-15 ini juga telah dijayakan dengan berkolaborasi bersama Persatuan Kebajikan dan Kakitangan (PSKK) serta sebanyak 25 organisasi pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK).
Mengikut gambaran, terdapat pelbagai gerai jualan yang beroperasi pada waktu pagi sehingga malam manakala gambaran juga telah menunjukkan bahawa FESKO ke-15 ini telah disambut meriah dengan Mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan sendiri mahupun komuniti yang berdekatan dengan UiTM.
Majlis Perasmian Penutupan FESKO-15 ini berlangsung pada 13 Mei 2023 iaitu pada hari terakhir FESKO-15. Kami telah menjemput VVIP daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) iaitu Encik Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Timbalan Pengarah untuk merasmikan majlis ini. Tidak lupa juga kepada semua tetamu yang kehormat datang ke majlis pada malam itu termasuk Majlis Perwakilan Pelajar Se-Malaysia.
Majlis ini disempurnakan dengan gimik perasmian iaitu memulangkan hulu keris ke sarungnya. Keris merupakan simbolik pertahanan dan kekuatan diri, bangsa dan masyarakat Melayu. Manakala tepak sirih merupakan simbol penghormatan warisan adat yang diwarisi turun temurun, bertepatan dengan tema FESKO-15 iaitu Tradisional Bumiputera.
Selain itu, Majlis Perasmian Penutupan FESKO-15 ini bertemakan Tradisional Bumiputera. Oleh itu semua tetamu yang hadir pada malam tersebut berpakaian tradisional.
Penyedia Laporan:
Biro Korporat
FESKO ke-15