MACHANG, 19 Jun – Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan hari ini berjaya menganjurkan program Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2022 yang berlangsung selama 2 hari bermula 18 Jun lalu. Program tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar lepasan SPM, STPM dan Diploma berkenaan kursus-kursus yang ditawarkan di UiTM di semua cawangan seluruh negara.
Bukan hanya pelajar, ibu bapa dan ahli keluarga turut dilihat menemani anak masing-masing bagi mendapatkan maklumat dan peluang bersesuaian dengan keputusan para calon. Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan dalam ucapannya berkata, sistem semakan selangkah yang dibangunkan oleh UiTM merupakan pemudah cara bagi para calon menyemak kelayakan akademik masing-masing sesuai dengan keputusan SPM dan STPM mereka. Selain itu, peranan perunding akademik dari kalangan pensyarah dalam membantu memberi khidmat nasihat kepada para calon berkenaan kursus dan pelan pengajian di UiTM diharap dapat membantu para calon membuat keputusan semasa mengisi permohonan UPU mereka nanti.
Tambahnya lagi, universiti sentiasa komited dalam membantu dan memastikan semua pelajar bumiputera mendapat peluang menjejakkan kaki ke menara gading selari dengan usaha dan keputusan mereka. Mengulas lanjut, sejak ditubuhkan pada tahun 1956, UiTM telah melahirkan lebih daripada 700,000 alumni yang kini merupakan pekerja sektor penting dalam pelbagai bidang. UiTM berbangga dengan ramainya jumlah graduan yang dihasilkan ini menggambarkan dengan jelas komitmen UiTM terhadap agenda membangunkan anak bangsa dengan meningkatkan jumlah penyertaan anak bangsa dalam sektor kemahiran dan profesional.
Program yang berlangsung dengan meriah tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Haji Zamri Haji Ismail, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan. Beliau menyifatkan program ini merupakan wadah penting bagi membantu masyarakat membuat keputusan dalam pelajaran mereka seterusnya dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka kelak.