MACHANG, 3 April - Unit Latihan dan Kepimpinan UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Bual Bicara A.D.A.B Dalam Pengajaran & Pembelajaran Pasca COVID-19 pada 24 Mac 2022 (Khamis). Program ini dirangka seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu, melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sehubungan itu, bual bicara ini dijangka dapat membantu meningkatkan kesedaran dan membimbing para pensyarah untuk mereka bentuk pelan tindakan tersendiri demi melahirkan graduan yang cemerlang akademik dan akhlak.
Program bual bicara ini telah dijalankan secara dalam talian atau webinar memandangkan masalah pandemik yang melanda negara sekarang. Dr. Norhapizah Burhan, Felo CG A.D.A.B dan Ts. Erny Arniza Ahmad, Felo CG ODL, CIDL, Pemenang Anugerah Khas (e-Pembelajaran), Anugerah Akademik Universiti (AAU 2020) merupakan dua panel yang dijemput khas untuk berkongsi ilmu yang banyak memberi manfaat kepada semua peserta dalam menghayati Model A.D.A.B dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sesi bual bicara yang berlangsung selama 3 jam melalui saluran rasmi YouTube UiTM Cawangan Kelantan yang dikemudi oleh moderator, Encik Azwan Shah Aminuddin ini telah menarik minat pendengar seramai 551 peserta secara langsung yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah UiTM di seluruh cawangan. Sehingga kini, program ini telah mencatatkan sebanyak 876 tontonan dan ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan. Kebanyakan pendengar memberikan maklumbalas positif di ruangan komen tentang perkongsian yang bermanfaat daripada kedua-dua penceramah. Bual bicara yang santai ini dapat memikat para pendengar untuk terus mendengar dan menghayati setiap perkongsian yang disampaikan.
Ini bersesuaian sebagai persiapan awal di permulaan semester baru untuk membantu pensyarah menghayati pembudayaan Model A.D.A.B dalam pelaksanaan Open & Distance Learning (ODL). Untuk makluman, semester Mac-Ogos 2022 ini merupakan semester ke-5 ODL dijalankan dan merupakan semester ke-2 ianya dijalankan secara hibrid. Diharapkan agar bual bicara santai ini dapat mendorong para pensyarah untuk menjadi ilmuwan yang beradab dan adil, yang meletakkan sesuatu pada tempat yang betul, menyangkut hubungan dengan Tuhan, manusia dan alam, memahami epistemologi ilmu, mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik, menggunakan ilmu dengan cara yang betul dan menjadi contoh teladan kepada para pelajar khususnya.