Perjumpaan Bersama TNC ICAN dan Serahan Komputer Riba (Fasa 6) Kepada Pelajar Kumpulan B40

MACHANG, 6 Februari - Timbalan Naib Canselor (TNC) Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah telah mengadakan lawatan ke UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan mengadakan perjumpaan bersama warga Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA) dan ICAN UiTMCK. Pertemuan tersebut berlangsung di UiTM Kampus Kota Bharu, Kelantan dan turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Jaringan Alumni, YBrs. Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura binti Mohamed Sayuti.  Sesi perjumpaan bersama TNC ICAN ke UiTMCK adalah bagi memperkukuhkan hubungan di antara kedua organisasi dan ke arah memperkasakan lagi hala tuju dan perancangan ICAN di masa akan datang. Penolong Rektor UiTM Kampus Kota Bharu, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nasir Ismail turut berbesar hati menyambut ketibaan tetamu-tetamu kehormat.

Sesi perjumpaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan seterusnya pembentangan pencapaian UiTMCK sepanjang tahun 2019 hingga 2022 oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, Dr. Syerina Azlin Md. Nasir. Koordinator ICAN dan para penyelaras unit di bawah PJIA turut hadir. Selain itu, sesi pertemuan bersama wakil Persatuan Alumni UiTMCK telah diadakan dan dihadiri oleh Dr. Yusri Huzaimi bin Mat Jusoh, Pensyarah Kanan merangkap exco Ekonomi Persatuan Alumni UiTM Kelantan (PAUK). Beliau turut memaklumkan perkembangan dan kemajuan serta sumbangan yang telah disalurkan oleh PAUK termasuklah sumbangan-sumbangan yang melibatkan para pelajar, staf UiTM dan komuniti. Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menyumbang bantuan kewangan sebanyak RM60,000 kepada UiTMCK dan telah dapat dimanfaatkan untuk pembelian komputer riba untuk disumbangkan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.

YBrs. Prof. Madya Dr. Zulkifli bin Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTMCK telah merumuskan pencapaian dan senario terkini berkenaan UiTMCK dan mengalu-alukan kolaborasi dan sinergi daripada pelbagai pihak dan agensi untuk memajukan UiTMCK dan negeri Kelantan. Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada PAUK atas kesungguhan dan usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan kepada warga kampus dan para pelajar yang memerlukan.

YBhg. Prof. Dr. Hariri turut berbesar hati membuat penyerahan bantuan komputer riba kepada 10 orang pelajar dari kumpulan B40 UiTMCK. Beliau turut mengambil inisiatif untuk membuat pertemuan bersama para penerima sumbangan dan memberikan motivasi serta menyuntik semangat kepada para pelajar tersebut untuk menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin dan terus berusaha untuk menjadi pelajar yang cemerlang.  Sehingga kini, terdapat seramai 51 orang pelajar yang telah menerima bantuan komputer riba ini dan jumlah bantuan dianggarkan telah mencecah sehingga RM49,115.78.  Program berakhir pada pukul 12:00 tengah hari dan diteruskan dengan sesi lawatan ke Muzium 3D Kota Bharu pada sebelah petang.

#PJIA

#PJIAICANUiTMCK

#PejabatAlumniNetworkCentre

#ICANPrihatin2022

#PAUK #ALUMNI

#UiTMdihatiku

#UiTMCawanganKelantan