Program Webinar Perkongsian Kepakaran Alumni - Telekom Malaysia Berhad (TM): ‘Peluang dan Panduan Perniagaan Bersama GLC’ Sempena Program REIACt Day 2021

MACHANG 1 Disember  – Satu Sesi Perkongsian Ilmu bersama Telekom Malaysia Berhad (TM): Peluang dan Panduan Perniagaan Bersama GLC telah berlangsung selama dua (2) jam bermula jam 2:00 hingga 4:00 petang yang bersiaran secara dalam talian melalui saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Kelantan.  Program perkongsian ini telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian program REIACt Day 2021 yang berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 28 - 29 November 2021. REIACt Day merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (BPJIA) yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk penyelidikan, keusahawanan, kemasyarakatan, industri dan alumni. 

Sesi program ini dikendalikan oleh Cik Amalina Awang selaku moderator di mana panel jemputan merupakan alumni Universiti Teknologi MARA iaitu Puan Noorismawati Ishak yang merupakan Pengurus Strategi Perolehan TM.  Perkongsian bermanfaat ini membuka peluang dan ilmu baharu berkaitan fungsi yang dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM). Umum mengetahui bahawa TM merupakan syarikat telekomunikasi Malaysia dan ketiga terbesar di dunia. TM mempunyai pegangan yang kukuh dalam pasaran komunikasi telefon mudah alih setelah mengambil alih Celcom Berhad dan menggabungkannya dengan perkhidmatan mudah alih sendiri iaitu TMTouch.  TM juga memiliki anak syarikat yang menawarkan perkhidmatan internet (TMNet) yang menawarkan perhubungan jalur nipis dan jalur lebar. Malah TMNet merupakan satu-satunya penyumbang jalur lebar DSL di negara ini.  Dengan itu, perkongsian bersama TM adalah langkah yang amat wajar dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar, alumni dan warga kampus.

Program ini rancak berlangsung dengan pelbagai soalan oleh para peserta yang terdiri daripada para pelajar dan komuniti.  Menerusi sesi ini, Puan Noorismawati Ishak juga turut berkongsi maklumat tentang peranan TM selaku GLC, pelbagai peluang jalinan kolaborasi, peluang perniagaan, dan penajaan untuk pendidikan di peringkat lebih tinggi.  Program ini juga turut disertai oleh Koordinator ICAN UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Hatinah Abu Bakar sebagai tanda sokongan dan kehadiran beliau telah memeriahkan lagi perjalanan program tersebut.

Objektif utama penganjuran program ini adalah sebagai menyempurnakan sebahagian daripada pengisian program REIACt Day 2021 yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat antara warga UiTM Cawangan Kelantan, komuniti dan alumni. Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran alumni dengan warga UiTM dan komuniti.  Program ini juga dapat meningkatkan penglibatan UiTM Cawangan Kelantan dalam program kolaborasi yang berimpak tinggi bersama alumni.

Program perkongsian seumpama ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang bersama organisasi yang berasaskan GLC sebagai pendedahan kepada para pelajar dan alumni.  Penganjuran program ini juga merupakan tanda pengiktifaran kepada para alumni dan menjadi platform kepada para alumni untuk berkongsi kepakaran mereka seterusnya menyuntik motivasi dan keyakinan kepada para pelajar dan graduan UiTM untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing dan merebut pelbagai peluang kerjaya dan perniagaan pada masa akan datang.

 

Penyedia Laporan:

Siti Rosnita Sakarji

Penyelaras Unit Jaringan Alumni UiTMCK