MACHANG, 23 Januari - Seramai 33 pelajar diploma semester 4 daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah berjaya mengadakan program kutipan dana iaitu Program Mahasiswa Prihatin bagi membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan asnaf dan pelajar B40 UiTM. Badan NGO yang terlibat adalah Volunteer i Care (ViC) dan Persatuan Alumni UiTM Kelantan (PAUK).
Jumlah dana yang telah berjaya dikumpul melalui program tersebut adalah sebanyak RM3680. Sebanyak RM1920 telah disumbangkan kepada Volunteer i Care (ViC) manakala RM1760 disumbangkan kepada Persatuan Alumni UiTM Kelantan (PAUK).
Objektif program ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar serta memberikan pendedahan awal tentang “Public Relations” yang dapat diaplikasikan melalui aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan. Selain itu juga, program ini juga dapat memupuk nilai ihsan dan empati dalam diri mahasiswa dengan membantu golongan yang memerlukan.
Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohammed, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, berkata bahawa kesukarelawanan adalah nilai yang sangat penting yang perlu ditanam dalam diri. Beliau berpesan supaya setiap pelajar melatih diri untuk terus menyumbang agar dapat memberi manfaat kepada orang lain. Sikap suka menyumbang ini juga perlu diperluaskan kepada orang lain supaya dapat menjadi contoh yang baik.
Beliau juga mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program ini. “Berbuat baik kepada orang lain hari ini, maka Allah S.W.T akan melapangkan segalanya”, ucap beliau ketika majlis penyerahan dana.
Penyedia Laporan:
Nurfadiah Qistina Bt Ahmad Ramzi
Setiausaha Program