Program Serahan Komputer Riba (Fasa 4) kepada Pelajar UiTM Cawangan Kelantan dari Keluarga B40 oleh PJIA UiTMCK, Fakulti dan Persatuan Alumni UiTM Kelantan (PAUK)

MACHANG, 17 Oktober 2021 – UiTM Cawangan Kelantan melalui Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA) kini meneruskan lagi usaha menyantuni pelajar B40 yang terpilih dari pelbagai fakulti di UiTM Cawangan Kelantan sebagai penerima sumbangan Fasa 4. Usaha ini dilakukan bagi memastikan para pelajar B40 UiTMCK tidak terpinggir dalam menjalani pembelajaran secara ‘Open & Distance Learning’ (ODL) akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh negara pada masa ini. Memandangkan negeri Kelantan masih berada dalam Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara ketika ini, maka Universiti Teknologi MARA selaku institusi pendidikan masih ditutup dan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih dijalankan secara maya. Secara khususnya, penyerahan Fasa 4 melibatkan penyerahan kepada dua (2) orang pelajar di dua negeri iaitu di Kampung Gajah, Perak dan di Kemaman, Terengganu. Kutipan sumbangan yang telah berlangsung bermula April 2021 masih dijalankan dan akan terus berlangsung sehingga Disember 2021. Sehingga kini, jumlah sumbangan terkumpul adalah sebanyak RM38,115.78.00 dan berjaya disumbangkan kepada 33 orang pelajar.

Penyerahan ini telah berjaya dilakukan dengan mengamalkan prosedur operasi standard yang ketat dan mengambil kira keperluan pelajar B40 yang amat mendesak untuk menghadapi sesi pembelajaran secara dalam talian pada semester yang sedang berlangsung iaitu Semester Oktober 2021-Februari 2022. Salah seorang penerima sumbangan ialah Nurul Syuhada binti Mohd Azahari yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik (CS241), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (Kampus Kota Bharu). Beliau yang baharu sahaja kerosakan komputer akibat kebakaran rumah baru-baru ini mengucapkan penghargaan tidak terhingga atas keprihatinan pihak universiti khususnya UiTM Cawangan Kelantan terhadap keperluan pembelajaran beliau.

UiTMCK menzahirkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang atas bantuan yang disampaikan dan seterusnya memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif sumbangan dan bantuan seumpama ini. Semoga dengan adanya bantuan ini dapat membantu meringankan beban para pelajar kumpulan B40 di samping dapat memberi semangat kepada para pelajar dalam menghadapi pembelajaran di era ini. UiTMCK akan terus berusaha dan membuat kutipan sumbangan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan. Untuk itu, sumbangan daripada orang ramai amat dialu-alukan bagi menjayakan penyerahan Fasa 5 kelak.

Sumbangan tunai boleh disalurkan melalui Bank Islam UiTM Cawangan Kelantan (Nombor Akaun: 03045010004053 Kumpulan Wang Amanah UiTM Kelantan (Rujukan: Laptop).  Maklumat pindahan tunai boleh dimasukkan ke pautan berikut untuk penyediaan surat penghargaan dan penyediaan resit rasmi pengecualian cukai: https://forms.gle/x48kixrTLvJALzQe7 

#PJIA

#PJIAICANUiTMCK

#PejabatAlumniNetworkCentre

#ICANPrihatin2021

#PAUK

#ALUMNI

#UiTMdihatiku

#UiTMCawanganKelantan