MACHANG, 9 Ogos - Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) Cawangan Kelantan hari ini menyampaikan tanda penghargaan warga universiti kepada para petugas di Pusat Pemberian Vaksin UiTM Kampus Machang.
Menurut Pengerusinya, Ts. Sapri Abdullah, KKUUiTM Cawangan Kelantan turut ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pengurusan universiti kerana memandang serius program vaksinasi di kalangan staf yang kini sudah mencapai lebih 90%.
Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, turut menyampaikan tanda penghargaan tersebut kepada Dr. Nik Muzaiman Mustapha dan Puan Afida Mohamed selaku wakil barisan hadapan UiTM. Menurut beliau, UiTM sangat cakna dalam memastikan agar tiada warga kampus yang tercicir dalam proses mendapatkan vaksin, tanpa mengira status sama ada staf, pekerja kontraktor atau para pelajar yang berada di kolej bagi mencapai imuniti kelompok dalam kampus. Beliau turut berterima kasih kepada semua petugas di PPV UiTM Cawangan Kelantan yang bertugas dengan penuh dedikasi bagi memastikan semua warga di Jajahan Machang mendapat vaksin lengkap.