Majlis Perasmian Penutupan Festival Kolej ke-17 (FESKO-17) UiTM Cawangan Kelantan

Majlis Perasmian Penutupan Festival Kolej ke-17 (FESKO-17) UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 10 November – Tirai Festival Kolej ke-17 (FESKO-17) UiTM Cawangan Kelantan dilabuhkan dengan penuh gilang-gemilang menerusi Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung di Medan Ilmu pada malam Isnin, dari jam 8.30 malam hingga 11.00 malam pada 1 November 2025.

Majlis penuh berprestij ini disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknologi MARA. Turut hadir menyerikan majlis ialah Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, serta Prof. Ts. Dr. Norhayati Baharun, Director, Department of International Affairs (DIA), UiTM Global. Hadir sama, Dr. Firdaus Mohamad, Pengerusi Pengetua Kolej-Kolej UiTM Malaysia, barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN), serta Ketua-Ketua Unit HEP UiTM Cawangan Kelantan.

Festival yang berlangsung selama tujuh hari ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung daripada kalangan pelajar, staf, pensyarah UiTM serta masyarakat setempat di negeri Kelantan, menjadikannya antara penganjuran terbesar di peringkat kolej kediaman bagi tahun ini. Jumlah keseluruhan tajaan luar bagi FESKO-17 turut mencecah hampir RM20,000, hasil kerjasama pelbagai rakan strategik dan penaja korporat yang memberi sokongan dalam bentuk tunai dan barangan.

Majlis penutup turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi antarabangsa dari Cagayan State University (CSU), Filipina yang terdiri daripada enam orang pensyarah dan enam belas pelajar; Guangxi Minzu Normal University (GMNU), China seramai sepuluh pelajar; serta tujuh belas pelajar antarabangsa dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang mewakili Jordan, Palestin, Indonesia, Syria, Sudan dan Arab Saudi. Kedua-dua universiti antarabangsa, CSU dan GMNU, turut mempersembahkan persembahan kebudayaan khas yang menyerlahkan semangat pertukaran budaya dan persahabatan antarabangsa.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Intercollege, sebagai pengiktirafan terhadap bakat, daya kepimpinan dan semangat kesukanan pelajar kolej kediaman UiTM Cawangan Kelantan.

Seterusnya, Majlis Penyerahan Resolusi Simposium JPKNR UiTM Se-Malaysia 2025 telah diadakan dengan tema “Penginapan Kolej dan Non-Residence: Teras Pembentukan Mahasiswa Kompetitif dan Holistik.” Resolusi ini merupakan hasil perbincangan tujuh kluster utama melibatkan Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non-Resident (JPKNR) dari seluruh negara — termasuk Shah Alam, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah, Pahang, Johor, Melaka, Terengganu dan Pulau Pinang — dan telah diserahkan oleh Dr. Firdaus Mohamad kepada TNC (HEP) UiTM sebagai simbolik komitmen pelajar terhadap penambahbaikan dasar kolej dan kesejahteraan mahasiswa UiTM.

Turut berlangsung Majlis Penyerahan Sijil Strategic Collaborator for Global Campus Engagement kepada wakil CSU, GMNU dan USM sebagai penghargaan atas penyertaan aktif dan sokongan kolaboratif mereka sepanjang FESKO-17, yang menjadi pemangkin kepada hubungan antarabangsa dan pembangunan kampus global UiTM.

Kemuncak malam diraikan dengan persembahan Dikir Barat yang turut disertai oleh TNC (HEP) UiTM dan Rektor UiTM Cawangan Kelantan di pentas utama, mengundang sorakan gemuruh hadirin. Detik penuh makna ini kemudiannya diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang berkilauan di langit Medan Ilmu, menandakan penutupan rasmi FESKO-17 dengan penuh kemeriahan dan meninggalkan kenangan indah buat seluruh warga UiTM serta komuniti setempat.



Penyedia Laporan:
Saudara Adam Mansor
Pengarah Program
Festival Kolej ke 17 (FESKO 17)