SURABAYA, 4 September – Bromo Wellness Expedition telah berjaya dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti berimpak tinggi di bawah International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition, diketuai oleh Saudara Muhammad Hanif Nazmi Romeli selaku Pengarah Projek pada 28 Ogos 2025. Program ini dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Fakulti Perakaunan UiTMCK dan Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs).
Ekspedisi ini telah disertai oleh 16 orang pelajar bersama 6 orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Siti Haliza Asat, Puan Wan Roshaini Wan Ali, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Puan Muhaniza Zainal Ariffin, Puan Rabaatul Azira Hasan, dan Puan Syuhaila Razak. Gunung Bromo dipilih sebagai destinasi kerana keunikannya sebagai salah satu ikon pelancongan dunia, terkenal dengan kawah gunung berapi aktif serta pemandangan matahari terbit yang memukau. Terletak pada ketinggian 2,329 meter dari aras laut, Bromo juga menjadi simbol ketahanan dan spiritual bagi masyarakat Tengger di Jawa Timur.
Sebelum pendakian, para peserta diberi taklimat keselamatan dan persediaan oleh Mas Adit, pemandu pelancong daripada Javanation Trip, bagi memastikan ekspedisi berjalan lancar dan teratur. Pendakian bermula seawal 1.00 pagi waktu tempatan dalam suasana gelap dengan suhu mencecah 10°C. Perjalanan ke puncak mengambil masa kira-kira 2–3 jam, sebelum peserta disambut panorama matahari terbit yang indah berlatarbelakangkan kawah gunung berapi aktif Bromo.
Pendakian ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi menjadi platform pembangunan holistik yang menekankan kesejahteraan fizikal, ketahanan mental, serta kepimpinan strategik. Peserta diuji mengurus stamina dan kestabilan emosi, kemahiran yang amat relevan dengan profesion perakaunan yang menuntut integriti, daya tahan, serta kebolehan mengurus risiko.
Selain pendakian, sesi refleksi turut diadakan bagi mengaitkan pengalaman dengan keperluan kerjaya masa depan. Peserta berkongsi bagaimana cabaran fizikal dan mental memberi pengajaran tentang disiplin, fokus, pengurusan stres serta keseimbangan emosi, nilai penting yang menjamin prestasi cemerlang dalam dunia profesional yang kompetitif.
Program ini juga menyokong Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3 (Good Health and Well-Being), serta menepati Pelan Induk Pembangunan Pelajar UiTM iaitu PI029 (Leadership) dan PI039 (Emotional Well-Being).
Secara keseluruhannya, Bromo Wellness Expedition membuktikan bahawa pembangunan pelajar tidak hanya berlaku di bilik kuliah, tetapi juga melalui aktiviti lapangan yang membina kekuatan mental, ketahanan fizikal, serta kemahiran insaniah. UiTM terus komited melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan teknikal, tetapi juga berjiwa pemimpin, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.
Penyedia Laporan:
Saudari Asma’ Mohd Fouzi
Setiausaha
Program International Accounting Beyond Borders (IABB) 4.0: Academic Expedition

