MACHANG, 7 Julai – Seramai 35 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Kelab PEERS dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang telah menganjurkan program PEERS's Corporate Social Responsibility: Horizon of Hopes yang merupakan program motivasi dan pembangunan sahsiah kepada pelajar Sekolah Rendah Islam Aman, Machang pada 2 Julai 2025. Program ini telah berlangsung bermula seawal jam 7:15 pagi dengan sesi taklimat. Ketibaan semua AJK dan pengiring disambut mesra oleh pihak sekolah dan majlis dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang dikendalikan sendiri oleh para AJK PEERS bagi menceriakan suasana dan memupuk semangat kecergasan dalam kalangan pelajar.
Antara pengisian menarik sepanjang program ini termasuk Workshop - Future Me, Silent Charades, ReCreate dan Jamboree Time. Sepanjang program, turut diadakan pertandingan sampingan “The Amazing Race” yang memberi ganjaran pelekat bintang kepada pelajar yang tampil menjawab soalan dan menunjukkan keberanian.
Selepas aktiviti rehat, makan dan solat Dhuha berjemaah, majlis diteruskan dengan sesi perasmian yang disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta ucapan aluan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Islam Aman. Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat serta hadiah kepada pemenang kategori kumpulan terbaik dan individu yang mengumpul pelekat bintang terbanyak.
Program ini berjaya mencapai objektif utama dalam membina jati diri, kreativiti serta semangat kolaboratif dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Penyedia Laporan:
Saudari Ainin Syafiya Badrul Sham
Pengarah Program
PEERS's Corporate Social Responsibility: Horizon of Hopes