Ceramah Ekslusif Kenali UiTM Bersama Unit Misi Akademik Dalam Malaysia Research And Innovation Support And Symposium 2025

MACHANG, 25 Mac - Unit Misi Akademik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah menyampaikan ceramah bertajuk “Kenali UiTM bersama Unit Misi Akademik” dalam program Malaysia Research and Innovation Support and Symposium 2025, yang berlangsung pada 24 & 25 Februari 2025. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Kelantan dan SM Sains Pasir Puteh. Seramai 759 orang murid telah berkampung selama dua hari di Kampus Machang, UiTM Cawangan Kelantan.

Slot ini bertujuan untuk memperkenalkan UiTM dan UiTM Cawangan Kelantan secara lebih mendalam kepada peserta. Dalam ceramah ini, Penyelaras Unit Misi Akademik, Puan Norhafizan Awang, bersama Puan Siti Haslini Zakaria, Pensyarah Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik telah berkongsi maklumat mengenai peluang pendidikan dan keistimewaan UiTM sebagai institusi pilihan. Sesi yang berlangsung di AUD100 dan AUD300 pada 24 Februari 2025, dari jam 3.00 hingga 4.00 petang turut disertai dengan sesi soal jawab bagi memberikan penjelasan lebih lanjut kepada peserta.

Penglibatan aktif Unit Misi Akademik dalam program ini menunjukkan komitmen UiTM dalam mendekati generasi muda serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi. Diharapkan penganjuran program ini dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah serta memperkukuh hubungan antara UiTM dan institusi pendidikan lain di Malaysia.

Penyedia Laporan:
Puan Norhafizan Awang
Penyelaras
Unit Misi Akademik
Bahagian Hal Ehwal Akademik

UiTM Cawangan Kelantan