Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Secara Maya antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)

MACHANG, 21 Jun – Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Universiti Teknologi MARA telah berjaya dimeterai pada hari Ahad, 13 Jun 2021. Memorandum ini bertujuan untuk memantapkan kerjasama yang telah sedia ada di dalam mempergiatkan aktiviti dalam bidang pembangunan, pentadbiran, perundingan dan Pendidikan berkaitan pembangunan wanita, keluarga dan usahawan serta inovasi.

Memorandum perjanjian ini adalah hasil kesinambungan daripada U-KekWa Sinergi yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2018. U-KekWa Sinergi merupakan satu inisiatif kerjasama di antara Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita bersama sekumpulan staf UiTM untuk menaikkan nama U-KeKWa di dalam pertandingan KIK. Sinergi ini membuahkan hasil apabila berjaya mendapat beberapa anugerah seperti Anugerah Penjanaan Pendapatan Terbaik, Anugerah Fasilitator Terbaik, Anugerah KIK Hibrid Bidang Inovasi Sosial di Konvensyen KIK UiTM Zon Timur. Manakala di Konvensyen UiTM Peringkat Kebangsaan, kumpulan ini telah berjaya merangkul Anugerah Penarafan Perak. 

Majlis ini telah ditandatangani oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed dan YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, Exco Kerajaan negeri Kelantan serta disaksikan oleh Pengarah U-KeKWa, Puan Ilvira Mohd Dasuki dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Syerina Azlin Md. Nasir. Turut sama hadir di dalam majlis ini adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Madya Ts. Dr. Ghazali Osman.

Di dalam ucapan aluan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, beliau mengharapkan sinergi ini membuka peluang lebih besar untuk berkolaborasi bukan sahaja bersama kerajaan negeri malah terbuka kepada organisasi yang lain. Majlis ini telah disiarkan secara live di YouTube Channel Rasmi UiTM Cawangan Kelantan pada hari tersebut.

Disediakan oleh: Rosfatihah Che Mat