KUALA KRAI, 5 November – Program ‘School Attack 3.0: Fun with Statistics’ anjuran Persatuan Akademik Diploma Statistik (I-TECHQS) dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Kelantan telah diadakan dengan jayanya di SMK Mengkebang, Kuala Krai pada 26 Oktober 2024. Program ini disertai oleh seramai 32 orang pelajar dari jurusan Diploma Statistik UiTM Cawangan Kelantan serta tiga (3) orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Nasuhar Ab Aziz (Koordinator Program Diploma Statistik), YM Tengku Mardhiah Tengku Jalal (Penasihat I-TECHQS) dan Puan Siti Haslini Zakaria (Penasihat I-TECHQS. Manakala penglibatan daripada pihak sekolah pula terdiri daripada 10 orang wakil guru dan 154 orang pelajar Tingkatan 4, SMK Mengkebang, Kuala Krai.
Objektif program ini adalah untuk membina hubungan dua hala antara UiTM Cawangan Kelantan dengan pihak SMK Mengkebang, Kuala Krai di samping memberi pendedahan kepada pelajar UiTM berkenaan jaringan dan jalinan kerjasama bersama organisasi luar UiTM. Program ini juga turut memberi pendedahan, kefahaman dan mencipta minat kepada para pelajar SMK Mengkebang mengenai program Diploma Statistik serta kepentingan ilmu statistik secara khusus melalui pendekatan Pendidikan STEM. Pelajar-pelajar SMK Mengkebang diberikan penerangan berkenaan dengan Kursus Diploma Statistik, prospek kerjaya dan bagaimana mereka perlu bersedia sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti khususnya dalam kursus Statistik.
Selain itu, para pelajar SMK Mengkebang juga turut terlibat di dalam slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang diterajui oleh pelajar Diploma Statistik sebagai fasilitator di mana slot ini merangkumi aktiviti-aktiviti bercorakkan trivia yang memerlukan pelajar mempraktikkan pengetahuan statistik dalam menyelesaikan masalah.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberikan impak yang positif kepada pelajar Diploma Statistik dan pelajar SMK Mengkebang terutamanya dalam membina jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Kelantan dan SMK Mengkebang seterusnya memberi pemahaman yang lebih meluas kepada pelajar SMK Mengkebang mengenai kursus Statistik dan prospek membina kerjaya pada masa hadapan dalam bidang Statistik.
Penyedia Laporan:
Puan Siti Haslini Zakaria
Pensyarah
Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik
UiTM Cawangan Kelantan