Program Ceramah Maulidur Rasul Peringkat Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan 1446H/2024M

TAJUK PROGRAM: MENELADANI AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W

MACHANG, 26 September – Bulan September sempena bulan Rabiulawal 1446H, merupakan salah satu daripada bulan-bulan istimewa dalam Islam yang mana bulan Rabiulawal merupakan bulan yang penuh keberkatan kerana ianya bulan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sehubungan dengan itu, Pusat Islam UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah mengadakan satu program yang berkaitan dengan Maulidur Rasul iaitu Program Ceramah yang bertajuk ‘Meneladani Akhlak Nabi Muhammad S.A.W.’ kepada semua warga UiTM di Malaysia melalui platform Youtube Rasmi UiTM Cawangan Kelantan.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi kesedaran tentang pentingnya untuk kita sebagai umat Islam menghayati bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. kerana ianya memberi banyak manfaat untuk kita teladani sekali gus mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Secara keseluruhan, program yang diadakan berjalan dengan lancar secara atas talian di Saluran Youtube Rasmi UiTM Cawangan kelantan. Program dimulai dengan ucapan alu-aluan dan bacaan doa yang dipimpin oleh moderator iaitu Encik Mohamed Izham Mohamed Nor. Ucapan alu-aluan ini sedikit sebanyak memberi kesan yang positif kepada semua warga UiTM yang hadir sebagai pendengar untuk mengetahui secara lebih mendalam berkenaan dengan Maulidur Rasul.

Program ini diteruskan dengan slot penceramah yang bertajuk ‘Meneladani Akhlak Nabi Muhammad S.A.W.’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Kelantan iaitu Dr. Shahrizal Mahpol. Beliau menerangkan secara mendalam kepada warga semua warga UiTM berkenaan dengan kelebihan bulan Maulidur Rasul, cara yang berkesan untuk kita sentiasa mengingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. dan akhlak Nabi Muhammad S.A.W. Antara penerangan yang disampaikan adalah mengenai sebagai seorang Muslim, kita mestilah sentiasa berselawat kepada baginda dan sebaik-baik selawat ialah selawat yang dibaca semasa tahiyat akhir ketika solat. Selain itu, beliau juga memberi pandangan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. mempunyai sifat yang sangat baik antaranya ialah Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang yang zuhud dan tawaduk serta tidak suka sekiranya sahabat-sahabat terlalu mengagung-agungkan atau memuji baginda secara melampau.

Akhir kata, seramai 734 peserta turut bersama-sama mendengar kupasan yang dilontarkan oleh Dr. Shahrizal Mahpol di Saluran Youtube Rasmi UiTMCK dan kebanyakan para hadirin memberi cadangan supaya program-program sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana dapat menyedarkan serta mengingatkan mereka berkenaan dengan hari-hari kebesaran dalam Islam dan pada masa yang sama menyuntik moral mereka untuk terus mengamalkan sifat Nabi Muhammad S.A.W dalam kehidupan seharian mereka.

Penyedia laporan:
Encik Mohamed Izham Mohamed Nor
Kerani Hal Ehwal Islam
Unit Hal Ehwal Islam
UiTM Cawangan Kelantan