Melukis Menggunakan Kopi Bawa Tuah kepada Pensyarah KPSK UiTMCK

BACHOK, 8 Ogos – Secawan kopi bukan sahaja untuk diminum malahan boleh dijadikan medium dalam menghasilkan lukisan kreatif. Ini terbukti apabila 2 orang Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan telah memenangi Pertandingan Coffee Painting Challenge anjuran Balai Seni Lukis Negara dan Kotak Seni Kelantan sempena Festival Kesenian Kelate 2024 yang bertempat di Pantai Irama Bachok pada Khamis, 1 Ogos 2024.

Penyertaan Puan Rohaizan Mat Nashir@Mohd Nasir, Pensyarah Kanan Jabatan Senireka Tekstil KPSK telah memenangi tempat ketiga dengan memilih ulaman Kelantan sebagai sumber inspirasi. Manakala Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir, Pensyarah Jabatan Senireka Grafik, KPSK menggambarkan watak Seri Rama dalam wayang kulit sebagai indentiti Kelantan telah berjaya mendapat tempat keempat. Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM100, hamper dan sijil penyertaan. Tahniah dan syabas atas kemenangan para pensyarah yang terlibat. Penyertaan dan kemenangan ini dengan secara langsung telah menaikkan lagi nama UiTMCK.

Dengan mengangkat tema Budaya Kelantan yang unik dan ikonik, hasil lukisan tersebut mendapat perhatian juri dengan olahan warna kopi yang menarik dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Skil dan teknik mewarna yang ditonjolkan dari bancuhan kopi menjadikan lukisan terhasil indah. Aktiviti seni menggunakan warna kopi ini dilihat sebagai satu terapi kerana bukan sahaja aromanya yang menenangkan, malahan melukis menggunakan kopi ini juga adalah satu cara untuk meluahkan emosi.

Seramai 18 peserta dari pelbagai latar belakang seni telah menghasilkan hasil karya mengkhususkan budaya dan warisan Kelantan. Penganjuran daripada organisasi terlibat telah membuka peluang dan ruang kepada individu kreatif untuk mengetengahkan bakat dan potensi sejajar dengan hamparan keunikan dan keindahan budaya dan warisan negeri Cik Siti Wan Kembang.

Penyedia Laporan:
Puan Rohaizan Mat Nashir@Mohd Nasir
Pensyarah Kanan
Jabatan Senireka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir
Pensyarah
Jabatan Senireka Grafik
Kolej Pengajian Seni Kreatif