Lawatan Penanda Aras dan Perancangan Strategik Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Universiti Malaysia Kelantan

MACHANG, 25 Julai – Delegasi Staf Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan yang diketuai Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan UiTMCK amat berbesar hati kerana telah diberikan peluang mengadakan Lawatan Penanda Aras dan Perancangan Strategik Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Universiti Malaysia Kelantan pada 17 Julai 2024.

Objektif lawatan dari Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkumi dua (2) aspek penting. Pertama adalah pertukaran pengetahuan dan pengalaman dengan memperluaskan pemahaman tentang pengurusan sumber manusia dalam konteks universiti lain, dengan memfokuskan kepada amalan terbaik. Ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pengurusan sumber manusia dalam kalangan staf dan pentadbir UiTM Cawangan Kelantan melalui pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada lawatan.

Kedua, peningkatan hubungan Inter-Universiti. Ini dapat membina hubungan yang lebih kukuh antara dua institusi akademik, membolehkan pertukaran idea dan kolaborasi jangka panjang yang bermanfaat.

Delegasi telah disambut mesra dan meriah oleh Pengurusan Pejabat Pendaftar dan dimulai dengan perkongsian oleh Encik Muhamad Anuar Ismail, Timbalan Pendaftar tentang Tadbir Urus Pengurusan Sumber Manusia UMK. Program diteruskan dengan perkongsian hebat daripada Pendaftar UMK iaitu Encik Khairul Eruwan Abdul Halim. Beliau banyak berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan universiti. Dalam perkongsian tersebut, Encik Khairul Eruwan Abdul Halim memberikan pandangan yang mendalam mengenai strategi untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti tempatan. Beliau menekankan betapa pentingnya kolaborasi antara pihak universiti dengan industri serta masyarakat setempat dalam memajukan pendidikan dan inovasi. Selain itu, Encik Khairul Eruwan juga memberi penekanan tentang kepentingan pendekatan proaktif dalam menangani isu-isu yang semakin mencabar pada masa kini.

Program diakhiri dengan delegasi diberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat beberapa bahagian dan ruang di UMK. Ini memberikan suntikan semangat baru kepada staf untuk lebih tekun dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab staf di dalam menyokong ESI dan iDART Universiti Teknologi MARA.

Penyedia Laporan:
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran
UiTM Cawangan Kelantan