GUA MUSANG, 30 Jun - Pada 22 Jun 2024 (Sabtu), Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang telah menyertai Program Klinik Kepenggunaan Bersama GPS dan Masyarakat Orang Asli Pos Tuel yang berlangsung di Pos Tuel, Daerah Gua Musang, Kelantan. Seramai 8 orang wakil GPS dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang telah dihantar sebagai fasilitator untuk menjayakan aktiviti bersama masyarakat Orang Asli Pos Tuel yang berasal dari beberapa kampung di sekitar kawasan tersebut. Program ini telah dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Gerakan Pengguna Negeri (GPN), Unit Pendayaupayaan Pengguna, GPD Gua Musang, dan GPS UiTM Cawangan Kelantan.
Antara aktiviti yang telah dijalankan ketika program ini berlangsung termasuklah permainan sukan tradisional yang melibatkan semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga dewasa, ceramah kepenggunaan kepada Ketua Isi Rumah, serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR). Program ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Penghulu Pos Tuel, Encik Halim Shariff, Pengerusi Jawatankuasa Orang Asli Pos Tuel, Encik Atan Alang, dan turut dihadiri oleh Tuan Aswadi Jaafar, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri; Puan Suhaida Suhaimi, Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna; serta Tuan Mohd Koma bin Shafii, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, KPDN Kelantan.
Usaha bersepadu antara KPDN Kelantan, GPS UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang, dan kumpulan sokongan pengguna tempatan menegaskan komitmen untuk meningkatkan pendidikan penggunaan dan daya saing ekonomi dalam kalangan komuniti Orang Asli. Inisiatif ini tidak hanya bertujuan untuk menangani isu-isu penggunaan secara langsung, malahan dengan ianya juga dapat membina landasan pembangunan komuniti yang mampan melalui peningkatan kesedaran dan penyertaan pengguna. Secara keseluruhannya, Program Klinik Kepenggunaan ini merupakan langkah yang sangat penting dalam usaha untuk membina komuniti Orang Asli yang berpengetahuan dan berdaya maju, disokong oleh penglibatan mahasiswa dan kerjasama semua pihak yang terlibat.
Penyedia Laporan:
Saudara Mohamad Arif Mohd Adnan
Ahli Jawatankuasa
Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS)
UiTM Cawangan Kelantan