MACHANG, 27 Mei - Jawatankuasa Audit Dalam di bawah Unit Pengurusan Kualiti UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Kursus Audit Dalam kepada 39 orang pensyarah dari pelbagai fakulti UiTM Cawangan Kelantan. Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari hari Ahad, 19 Mei 2024 dan tamat pada 21 Mei 2024 bertujuan untuk menjelaskan tujuan sistem pengurusan kualiti, bagi memahami struktur serta keperluan standard COPIA dan ISO 9001:2015. Kursus ini juga menerangkan peranan dan tanggungjawab juruaudit untuk merancang, mengendalikan, menyediakan laporan dan susulan audit mengikut sistem audit pengurusan kualiti dan untuk membentuk pasukan juruaudit bertauliah baharu bagi menggantikan juruaudit-juruaudit yang telah bertukar tempat kerja dan bersara. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan.
Penceramah yang dijemput adalah penceramah yang mendapat pentaulihan dari Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) iaitu terdiri dari Ts. Mohd Norafizal Abd Aziz dan Encik Abd Razak Abu Kassim. Ts. Mohd Norafizal Abd Aziz merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik dari UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub. Beliau berpengalaman sebagai panel penilai pematuhan MQA, penyedia garis panduan penilaian semakan kurikulum dan panel penilai program akreditasi. Manakala, Encik Abd Razak Abu Kassim merupakan Pensyarah Kanan dan Koordinator Program (Sarjana Muda) bagi Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan dari UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun. Beliau juga merupakan mantan Ketua Unit Kualiti UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, berpengalaman sebagai pegawai audit dalam UiTM Cawangan Terengganu, audit luar iQMS UiTM dan audit kewajaran sumber manusia.
Buat makluman semua, bagi mendapat pentauliahan sebagai juruaudit dalam di UiTM, para peserta perlu menghadiri serta menamatkan 6 sesi ceramah, latihan dalam kumpulan melalui pelaksanaan Mock Audit dan diakhiri dengan ujian Competency. Melalui pelaksanaan program ini diharapkan semua peserta mendapat pentauliahan sebagai juruaudit dalam di UiTM serta dapat menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang sebagai pegawai audit dalam UiTM pada masa akan datang.
Penyedia Laporan:
Puan Azilawati Abdullah@Abd Aziz
Timbalan Ketua
Sistem Audit Dalam UiTMCK