Kunjungan Hormat & Perbincangan PETRONAS Ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 7 Februari - Satu kunjungan hormat oleh syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah berlangsung yang melibatkan sesi perbincangan antara pihak PETRONAS bersama dengan UiTM Cawangan Kelantan. Pihak PETRONAS diwakili oleh seramai 5 orang delegasi yang diketuai oleh Encik Suhaimi Ahmad (Pengurus Besar Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar, PETRONAS) dan Puan Maria Teo (Pengurus Besar Kanan, Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek & Teknologi, PETRONAS) manakala pihak UiTM Cawangan Kelantan pula diketuai oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi selaku Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Turut hadir bersama bagi pihak UiTMCK, Timbalan Rektor PJIA, Koordinator ICAN, Pegawai Psikologi Kanan Unit Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Koordinator Unit Komunikasi Korporat dan Pegawai Perhubungan UiTM Global.

Sesi perbincangan bertumpu kepada 2 program iaitu Program BeDigital Bootcamp (BDB) dan Collaboration with Higher Education Strategy Initiatives (CHESS). Program BeDigital Bootcamp (BDB) Siri 2 yang dapat membantu usaha Graduate Employability (GE) UiTM bakal dijadualkan pada hujung bulan Februari 2024. Seramai 9 orang graduan dari UiTM Cawangan Kelantan yang telah berjaya disenarai pendek dan terpilih oleh pihak PETRONAS akan mengikuti program BDB peringkat zon Pantai Timur pada 24 Februari 2024 sehingga 6 Mac 2024 di Kuala Terengganu.

Selain itu, perbincangan di antara pihak UiTM Cawangan Kelantan bersama pihak PETRONAS turut memfokuskan dalam merangka beberapa aktiviti yang bakal dirancang dan dilaksanakan yang menjurus kepada Program CHESS. Program tersebut disinergikan sebagai naratif kerjasama antara pihak PETRONAS dan UiTM. Semoga apa yang telah dirancang bakal dilaksanakan dengan jaya bagi mencapai hasil yang cemerlang buat kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Jaringan Industri, Komuniti & Alumni