'Sharing Session: International Design Talk' Kolaborasi UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia

MACHANG, 23 Oktober - Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan program Sharing Session: International Design Talk dengan kolaborasi bersama Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Yogyakarta, Indonesia. Program ini telah berlangsung pada 16 Oktober 2023 (Isnin), bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. 

Program Sharing Session: International Design Talk telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli. Program pengantarabangsaan ini turut dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif, Puan Ts. Emilia Abdul Manan dan Penyelaras Program Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Dr. Mat Redhuan Samsudin dan semua pensyarah jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital. Seramai 37 orang pelajar diploma semester akhir daripada Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital telah terlibat dalam program tersebut setelah sekian lama tidak diadakan. Program yang berlangsung ini merupakan kejayaan bagi Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital secara khususnya dan juga Kolej Pengajian Seni Kreatif secara amnya. 

Sharing Session: International Design Talk merupakan rangkaian daripada Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD) yang telah diadakan pada 02 Oktober 2023. Program ini telah diketuai oleh Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir untuk merapatkan hubungan pengantrabangsaan dan kolaborasi dua hala antara UiTM Cawangan Kelantan bersama Universitas Ahmad Dahlan (UAD). Program Sharing Session: International Design Talk merupakan salah satu inisiatif daripada Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir sebagai pengarah program dan semua warga Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital termasuk pensyarah serta pelajar. Program ini juga telah mendapat sokongan daripada Penyelaras Program Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital. 

Menurut Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif, Puan Ts. Emilia Abdul Manan, program ini bertujuan untuk menjadikan Sharing Session: International Design Talk sebagai inspirasi kepada pelajar diploma semester akhir khususnya Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital untuk menghasilkan karya yang bermakna sekaligus mengejar peluang untuk mendalami ilmu melalui akademik dan budaya negara luar. Selain itu, program ini adalah untuk menerima dan bertukar pendapat sambil berkongsi pengetahuan daripada perspektif negara luar. Dalam ucapan perasmian daripada Timbalan Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli pula, beliau menyatakan program ini dapat merapatkan hubungan pengantarabangsaan antara dua buah negara dalam masa yang sama dapat menghasilkan impak yang positif dalam program inbound dan outbound antara pelajar dan pensyarah kedua-dua buah universiti pada masa akan datang. 

‘Guest Lecturer’ daripada Universitas Ahmad Dahlan (UAD) adalah Dr. Ajar Pradika Ananta Tur,M.A, Pak Arif Ardy Wibowo S.Sn.,M.Sn dan Ibu Ida Puspita, M.A.Res. Program Sharing Session: International Design Talk membuka ruang kepada tetamu yang diraikan untuk berbahas tentang topik yang bertemakan “Empowering Women Through Eatery Name Branding”. 

Kesimpulannya, program Sharing Session: International Design Talk telah memberi peluang dan inspirasi kepada Kolej Pengajian Seni Kreatif khususnya pelajar Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital untuk mendapat input daripada sudut akademik darinegara luar. Perkara seperti ini banyak memberi pengetahuan dan input baharu dari segi penerimaan idea dan ‘design trend’ menurut perspektif luar. Dalam masa yang sama, kolaborasi antara UiTM Cawangan Kelantan bersama Universitas Ahmad Dahlan (UAD) mampu diteruskan pada kolaborasi antarabangsa yang akan datang.

Penyedia laporan:
Saudari Amiera Aisyah Mat Saat
Setiausaha
Sharing Session: International Design Talk