Majlis Sanjungan Budi Pejabat Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Kampus Machang

MACHANG, 4 Oktober - Majlis Sanjungan Budi Pejabat Rektor yang telah berlangsung pada 3 Oktober 2023 adalah bagi meraikan staf di bawah Pejabat Rektor yang telah bersara dan juga buat staf yang telah bertukar tempat bertugas. Majlis dihadiri oleh Pihak Pengurusan Tertinggi UiTMCK dan juga staf-staf daripada bahagian/ unit yang lain.

Objektif majlis adalah bagi memberi penghormatan terakhir kepada staf yang berada di bawah seliaan Pejabat Rektor yang bersara iaitu Encik Mohd Shamsul Bahrin Zakaria, Kerani di Unit Hal Ehwal Islam. Untuk makluman, Encik Mohd Shamsul Bahrin Zakaria telah berkhidmat di UiTMCK selama 14 tahun, terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan kepada UiTMCK sepanjang tempoh perkhidmatan. Majlis juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Husaini Ab Razab, Penolong Pendaftar Kanan Unit Hal Ehwal Islam yang telah bertukar tempat bertugas ke UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu dan juga Puan Shalwati Ramli, Penolong Pendaftar Kanan Unit Hal Ehwal Islam yang telah bertukar ke Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) bermula Oktober 2023. Majlis juga mengalu-alukan kehadiran Encik Mohd Khusyairie Marzuki, Penolong Pendaftar Kanan yang akan mula bertugas di UiTM Kampus Machang menggantikan tempat Encik Husaini Ab Razab.

Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan daripada Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK dan disusuli dengan ucapan dari staf yang diraikan, Encik Mohd Shamsul Bahrin Zakaria dan Puan Shalwati Ramli. Pada majlis ini, para hadirin mengambil kesempatan di bulan kelahiran Rasulullah S.A.W dengan mengadakan acara selawat beramai-ramai yang diketuai oleh Encik Mohd Shamsul Bahrin Zakaria di mana ianya juga merupakan sumbangan tugasan terakhir beliau di UiTMCK. Selain daripada itu, majlis juga membuat bacaan doa kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada YM Dato' Tengku Adida Tengku Zainal Mulok (D.P.S.K) atas pengurniaan Anugerah Kehormatan Negeri Kelantan yang membawa gelaran “Dato”.

Pada akhir majlis, Rektor UiTMCK dikejutkan dengan sambutan ulang tahun kelahiran beliau pada 29 September 2023 yang lalu. Sesi memotong kek dan nyanyian lagu ulang tahun kelahiran oleh semua tetamu jemputan memeriahkan lagi majlis.

Penganjuran Majlis Sanjung Budi ini adalah salah satu agenda yang dirancang oleh pihak Pejabat Rektor bagi memberi penghargaan kepada staf yang diraikan dan juga membuka peluang untuk beramah mesra bersama staf yang senantiasa sibuk dengan urusan kerja. Semoga majlis pada kali ini memberikan manfaat yang baik dan berterusan buat semua staf UiTMCK.

Pautan video Pejabat Rektor Berselawat seperti berikut:

youtu.be/2nzc7B9ozyE

Penyedia laporan:
Cik Ruhayu Nurdin
Pegawai Eksekutif
Unit Komunikasi Korporat