Program Semarak Kasih UiTMCK & POKB 2023: Sentuhan Nurani Santuni Komuniti

MACHANG, 13 September – Satu program kemasyarakatan yang diberikan nama ‘Semarak Kasih UiTMCK & POKB 2023’ telah berjaya dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa (APB), Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).   Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif berkongsi rezeki dan memberi peluang kepada warga untuk bersama-sama membantu dengan menghulurkan sumbangan ikhlas dalam bentuk pakaian (baharu atau terpakai) dan barangan keperluan asas kepada warga asnaf dibawah kelolaan POKB.

Program ini telah disempurnakan dengan satu Majlis Penyerahan Sumbangan bagi Program Semarak Kasih UiTMCK & POKB 2023 yang telah diadakan pada 05 September 2023. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran para pentadbir UiTMCK yang terdiri daripada Rektor, Prof. Dr. Abdol Samad Nawi, bersama para Timbalan Rektor, Penolong Rektor Kampus Kota Bharu, Koordinator ICAN  dan ahli jawatankuasa pelaksana program. Kunjungan pihak UiTMCK ini diraikan dengan meriah oleh Dato' Wan Azhar Yusoff, selaku Bendahari Agong POKB dan wakil-wakil POKB. Seramai 30 penerima sumbangan telah dijemput untuk hadir bagi menerima bakul sumbangan yang berisi barangan keperluan asas pada majlis tersebut. 

Kesemua hasil sumbangan telah dihantar oleh pihak UiTMCK ke Rumah Kasih OKB, Kota Bharu pada sehari sebelum majlis ini. Pihak POKB sebagai penganjur bersama bakal menyampaikan sumbangan ikhlas ini kepada mereka yang memerlukan di sekitar Jajahan Kota Bharu.

Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, iaitu dermawan. Allah dan Rasul-Nya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah. Melalui usaha menjayakan program ini, diharapkan semua warga UiTMCK mendapat peluang untuk meneladani Rasulullah S.A.W. untuk meraih pahala dan kelebihan bersedekah ini.

Bukan itu sahaja, dengan adanya program ini, diharapkan semua warga UiTMCK dapat meluahkan rasa dan nilai kesyukuran melalui budaya saling membantu. Juga, dapat membudayakan sifat-sifat kemanusiaan dalam setiap individu secara holistik melalui keikhlasan amal bakti dan kesediaan untuk berkongsi dan memberi. Akhir sekali, dapat menzahirkan sifat prihatin dan sayang antara satu sama lain.

Penyedia laporan:
Pn. Norhafizan Awang
Setiausaha Program Semarak Kasih UiTMCK & POKB 2023