Ketibaan Pelajar Latihan Industri dari Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia

MACHANG, 08 Mei - Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK), Kampus Machang telah menerima kunjungan 8 orang mahasiswa daripada Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP) Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia pada hari Jumaat, 28 April 2023. Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Pusat Pengajian FPM, UiTMCK, Dr. Nor Erlissa Abdul Aziz bersama dengan Koordinator Program Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat (Kepujian), Pengurusan Sistem Maklumat (IM245/IM262) iaitu Puan Huda Hamidon serta para pensyarah FPM, UiTMCK. Turut menyambut ketibaan mereka adalah dua orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FPM UiTMCK iaitu Muhammad Firdaus Mohamed Sohaimi dan Siti Nur Balqis Zalmi. Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa (International Students Inbound Progamme) ini merupakan kolaborasi antara FPM, UiTMCK dan FISIP, UNAIR. Para mahasiswa yang merupakan pelajar Program Sarjana Ilmu Informasi dan Perpustakaan, FISIP, UNAIR bakal menjalankan Latihan Industri secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) di Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTMCK selama 1 semester bermula April 2023 hingga Julai 2023. Antara program yang telah dijalankan adalah sesi perjumpaan bersama barisan pengurusan tertinggi UiTMCK dan para pensyarah dari FPM, UiTMCK. Mereka juga telah menjalani sesi lawatan ke sekitar Kampus Machang, UiTMCK. Selamat datang dan selamat maju jaya diucapkan kepada para pelajar Latihan Industri dari Universiti Airlangga (UNAIR), semoga mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman yang berharga daripada pihak FPM dan PTA sepanjang tempoh mereka berada di kampus ini.

Penyedia Laporan: 
Cik Najatul Afiqah Mohd Affandi
Pensyarah
Fakulti Pengurusan Maklumat