Kunjungan Media bersama UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 14 Mac – UiTM Cawangan Kelantan mendapat kunjungan daripada pihak media pada 06 Mac 2023. Pihak media tertarik untuk melihat usaha UiTMCK berkaitan hasil daripada Tanaman Nanas MD2 dan Projek Komuniti Cendawan Berasaskan IoT. Kunjungan daripada pihak media disambut oleh pihak pengurusan UiTM Cawangan Kelantan diwakili oleh Encik Hishamudin Mohamad Twontawi selaku Timbalan Pendaftar UiTMCK, Dr. Syerina Azlin Md. Nasir Ahli Kumpulan Penyelidik Cendawan IoT dan juga para staf yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia projek-projek tersebut. Pihak media dibawa melawat kedua-dua tapak projek yang bertempat di Kampus Machang dan juga telah melihat dengan secara dekat hasil yang telah diperolehi setakat ini daripada projek yang dijalankan.

Sebagai makluman, hasil Tanaman Nanas MD2 adalah berasal daripada Projek Ladang Nanas Bukit Ilmu. Projek tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor pada 13 Februari 2022 yang lepas.  Projek penanaman nanas MD2 fasa 1 seluas 4 ekar ini merupakan projek kerjasama UiTMCK dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dimana sebanyak 40,000 benih dibekalkan oleh LPNM.

Manakala Projek Komuniti Cendawan Berasaskan loT pula adalah merupakan hasil kerjasama di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan UiTM Cawangan Kelantan. Projek ini bermula pada awal bulan Februari 2023 dan telah menggunakan peruntukan sebanyak RM 31,000. Projek ini juga mendapat suntikan dana dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK).

Pihak pengurusan UiTMCK dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak media khususnya dari Harian Metro, Bernama dan Utusan Malaysia kerana telah sudi meluangkan masa mereka untuk membuat liputan di Kampus Machang. Pada masa yang sama, pihak universiti juga amat menghargai usaha dan kerjasama daripada pihak media yang telah banyak membantu dalam menceritakan kisah-kisah kejayaan UiTMCK ke seluruh Malaysia dan dunia luar.

Penyedia Laporan:
Unit Komunikasi Korporat