MACHANG, 16 Februari - Program International Community Service: Mandarin is Fun anjuran bersama Akademi Pengajian Bahasa (APB) Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK), Malaysia, University Al Azhar, Indonesia (UAi), Quanzhou Vocational & Technical University (QVTU), China, dan Tabika Perpaduan Padang Selising, Machang, Kelantan telah berjaya dijalankan pada 13 Februari 2023 secara hibrid (bersemuka & Zoom).
Program ini melibatkan seramai 10 pelajar dari UiTMCK, 10 pelajar dari UAi, 10 pelajar dari QVTU, 22 pelajar dari Tabika Perpaduan Padang Selising dan dibimbing oleh 4 orang fasilitator yang terdiri daripada para pensyarah APB UiTMCK. Tujuan utama program khidmat masyarakat antarabangsa ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu kepada para guru dan pelajar dari Tabika Perpaduan Padang Selising, Machang bersama-sama UAi dan QVTU kepada Bahasa Mandarin Asas. Program ini merupakan salah satu peluang keemasan yang dapat memberikan nilai tambah dalam meningkatkan tahap kecemerlangan UiTMCK beserta para pelajar UiTMCK.
Selain itu, Program International Community Service: Mandarin is Fun berjaya menyediakan platform untuk memperkenalkan bahasa dan budaya masyarakat Cina melalui pembelajaran Bahasa Mandarin. Dalam program yang julung kali diadakan bersama Tabika Perpaduan ini, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti komunikasi asas dalam Bahasa Mandarin, membuat kraftangan berunsurkan budaya masyarakat Cina dan menyanyi lagu Bahasa Mandarin sambil menunjukkan gaya bahasa badan.
Diharapkan program seperti ini dapat terus diadakan pada masa akan datang bagi mengukuhkan jalinan kerjasama strategik dan menyambung silaturrahim antara rakan universiti antarabangsa serta komuniti setempat.
Penyedia Laporan:
Department of International Affairs