MACHANG, 02 Februari – Program yang diadakan di Hotel Grand Renai ini merupakan hasil kesinambungan kepada MoU yang telah dimeterai antara UiTM Cawangan Kelantan dengan pihak Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (U-KeKWa) pada 30 Januari 2023. Satu geran penyelidikan nasional daripada Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM22,000 yang diterima oleh para pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menghasilkan penyelidikan Pembangunan Model Usahawan Sayyidatina Khadijah (MUSK).
Tujuan utama majlis ini diadakan adalah bagi menyempurnakan penyerahan laporan lengkap hasil penyelidikan kajian Model Usahawan Sayyidatina Khadijah oleh pihak UiTM Cawangan Kelantan kepada pihak U-KeKWa. Hasil dapatan penyelidikan ini akan digunakan dalam menyokong pelaksanaan dasar, pelan dan modul panduan kepada usahawan wanita. Antara tetamu kehormat yang hadir meraikan majlis ini adalah Pengerusi Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Yang Berhormat Dato’ Hajah Mumtaz Binti Md Nawi, Timbalan Pengerusi, Yang Berhormat Hajah Rohani Binti Ibrahim, serta Yang Berhormat Senator Dr. Wan Martina Binti Wan Yusoff. Manakala bagi pihak UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi selaku Rektor serta pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Kelantan juga turut dijemput meraikan majlis ini. Delegasi Universiti Sumatera Utara (USU) yang diketuai oleh Prof. Dr. Ritha F. Dalimunthe juga dijemput khas untuk sesi perkongsian dalam hasil kajian terhadap usahawan wanita antara dua budaya berbeza Malaysia dan Indonesia, sekaligus menjadikan pertemuan antara tiga pihak dalam menjalinkan kerjasama dan menjaga hubungan baik kedua-dua negara. Kerjasama yang terjalin dapat mengangkat martabat wanita sebagai usahawan yang berjaya di mata dunia.
Penyedia Laporan:
Nor Sabrina Zahari
Pensyarah/Penyelidik MUSK