MACHANG, 24 Januari – Pendaftar Universiti Teknologi MARA, YBrs. Tuan Haji Muhamad Nizam telah hadir ke UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) untuk lawatan kerja bagi melihat dengan lebih dekat perkembangan terkini Tadbir Urus Pengurusan Kampus. Delegasi lawatan ini juga turut disertai oleh Encik Nor Amiruddin Mokhtaruddin, Ketua Timbalan Pendaftar dan Tuan Haji Muhammad Huzaifah Redzuan, Timbalan Pendaftar Kanan UiTM.
Lawatan ini merupakan program turun padang dari Pejabat Pendaftar kampus induk yang berperanan sebagai pemudah cara pencapaian aspirasi dan inisiatif transformasi UiTM. Delegasi terlebih dahulu dibawa untuk ke sesi bergambar bersama Rektor UiTMCK dan menandatangani buku pelawat di hadapan Rektor secara rasmi sebagai tanda kenangan kehadiran ke kampus ini. Satu sesi perjumpaan khas bersama pasukan pengurusan UiTMCK juga turut diadakan untuk membentangkan pencapaian dan pesanan pengurusan kepada Jawatankuasa Eksekutif UiTMCK.
Perjumpaan ini diteruskan dengan Sesi Perjumpaan Pendaftar bersama Staf UiTMCK dan telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan selamat datang oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK. Tuan Haji Muhamad Nizam meluahkan penghargaan kepada semua staf yang komited untuk hadir ke sesi perjumpaan ini. Beliau telah membentangkan pencapaian keseluruhan staf UiTMCK bagi tahun 2022. Beliau turut menekankan tentang aspek penyelidikan, tumpuan kepada 17 goals @SDG-worldwide action, fokus kepada modal insan, pemikiran inovatif, faham pelaksanaan dan membudayakan nilai ESI-iDART, pembelajaran berterusan serta mengutamakan nilai.
Tuan Haji Muhamad Nizam juga berbesar hati memberikan kejutan kad perhargaan “Dari Kaca Mata Pendaftar’ kepada staf cemerlang yang bertuah. Gimik kejutan tersebut merupakan inspirasi pencetus semangat positif buat warga UiTM supaya terus bersemangat dan amanah dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Sesi lawatan kerja ini diteruskan dengan menziarahi staf UiTMCK yang sakit dan memberi semangat untuk terus positif menghadapi ujian yang dihadapi. Di akhir kunjungan, delegasi turut mengunjungi Big Data Lab di UiTMCK Kampus Kota Bharu dan Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre yang merupakan aset kebanggaan UiTMCK.