Bengkel Strategic Action Plan UiTMCK 2023

MACHANG, 29 November – Unit Transformasi Universiti UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan Bengkel Strategic Action Plan UiTMCK 2022 pada 23 dan 24 November 2022. Bengkel ini dijalankan untuk memberi penerangan yang jelas tentang hasrat, visi dan misi UiTM bagi membolehkan pembentukan, pengemaskinian dan penambahbaikan kepada perancangan strategik universiti yang mapan. Bengkel dimulakan dengan taklimat berkenaan bidang tumpuan kampus yang menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan inisiatif strategik. Pengisian bengkel dimantapkan lagi dengan penyampaian amanat serta taklimat hala tuju universiti dan kampus oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Hj. Abdol Samad Nawi. Seramai 80 orang peserta bengkel yang terdiri daripada staf akademik dan staf bukan akademik diingatkan supaya setiap perancangan inisiatif sama ada yang bersifat jangka panjang atau pendek adalah berdasarkan tema, “Globally Marketable 2023”. Aktiviti diteruskan dengan sesi pengagihan petunjuk prestasi utama daripada pihak Pemilik kepada Pelaksana dan sesi perbincangan serta soal jawab diteruskan sehingga jam 5 petang.

Hari kedua bengkel dipenuhi dengan sesi perbincangan dan sumbang saran berkenaan perancangan dan pelaksanaan inisiatif selari dengan tema pelan perancangan strategik UiTM2025 dan GRU2025. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut unit, bahagian dan fakulti. Bagi memastikan objektif bengkel tercapai, para Pemilik dan Pelaksana dikehendaki menyediakan perancangan inisiatif mereka di dalam templat yang disediakan pihak UTU yang seterusnya akan dibentangkan pada sesi kedua bengkel pada 8 sehingga 10 Disember 2022 yang bertempat di ILD Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Penyedia Laporan:
Puan Wan Nuur Fazliza Wan Zakaria
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Bahasa