- Administrator
- Bahasa Melayu
- Hits: 41
Majlis Apresiasi Pascasiswazah & Jaringan Alumni UiTM Cawangan Kelantan
KOTA BHARU, 5 April - Majlis Apresiasi Pascasiswazah dan Jaringan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah berlangsung dengan penuh meriah di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, dengan kehadiran seramai 155 orang yang terdiri daripada pensyarah, penyelia, staf, pelajar pascasiswazah serta alumni dan tetamu yang lain.
Majlis anjuran Pusat Pengajian Siswazah (PPS) ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Dr. Hjh Zuraeda Ibrahim, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPSis), Profesor Madya Dr. Mohammad Firdaus Mohammad Hatta, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Antarabangsa Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) mewakili Dekan AAGBS serta Profesor Madya Dr. Nursaadatun Nisak Ahmad, Penyelaras Promosi & Pengantarabangsaan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) mewakili Dekan FPP.
Pengurusan UiTM Cawangan Kelantan turut hadir termasuk Profesor Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, serta Profesor Madya Dr. Nor Halida Haziaton Mohd Noor, Ketua Pusat Pengajian Siswazah bersama barisan koordinator program pascasiswazah.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan pelajar pascasiswazah yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, melibatkan penganugerahan Anugerah Pascasiswazah Fakulti (APF) seramai 54 pelajar, Anugerah Sarjana Cemerlang (ASC) 3 pelajar serta Anugerah Lulus Defense Research Proposal (DRP) seramai 60 pelajar dan lulus Viva-Voce seramai 22 pelajar dengan keseluruhan penerima anugerah iaitu seramai 138 pelajar.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran Dana Kecemerlangan Pelajar Pascasiswazah yang bertujuan menggalakkan sumbangan bagi menyokong pembangunan akademik dan kebajikan pelajar. Majlis ini turut diserikan dengan sesi perkongsian inspirasi oleh pelajar cemerlang 2025 iaitu YM Tengku Anis Yasmin Tengku Yahya (MBA) dan Dr. Fauzana Ismail (DBA).
Perkongsian pengalaman oleh alumni juga mendapat perhatian para hadirin, antaranya Dr. Marha Abdol Ghapar (DBA) yang merupakan seorang pensyarah di UiTM Cawangan Terengganu dan Encik Mohamad Afham Azmin (MBA),Ketua Pegawai Operasi (COO) Mah Sing Berhad, yang berkongsi pengalaman serta perjalanan sepanjang pengajian.
Bagi menambah kemeriahan, majlis turut mengadakan anugerah khas kepada warga PPS sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka. Antara penerima ialah Dr. Tg Nur Liyana Tengku Mohamed Fauzi (Anugerah Koordinator Kreatif), Dr. An Nur Nabila Ismail (Anugerah Koordinator Terbaik) dan YM Cik Puteri Nur Syazwani Megat Muhammad Kamal (Anugerah Staf Pentadbiran Terbaik).
Majlis diakhiri dengan cabutan bertuah serta jamuan raya yang disediakan kepada semua tetamu, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga universiti dan alumni. Penganjuran majlis ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam menghargai kecemerlangan pelajar serta memperkukuh jaringan alumni, selaras dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.





