IBAC adalah singkatan kepada Islamic Banking Association Club dan merupakan sebuah kelab akademik. Keahlian IBAC tidak terbuka kepada semua pelajar kerana ia ditubuhkan khusus untuk pelajar-pelajar yang mengambil jurusan Perbankan Islam (BA249) sahaja. Mereka yang mengambil jurusan Perbankan Islam (BA249) secara automatik akan terus diserap menjadi ahli IBAC tanpa perlu membuat pendaftaran untuk menjadi ahli kelab seperti kelab-kelab yang lain. Visi kelab kami ialah untuk mewujudkan hubungan dan interaksi sosial yang bermakna antara ahli-ahli kelab IBAC. Manakala misi IBAC pula ialah untuk memupuk individu-individu yang berfikiran sama supaya lebih banyak pengetahuan tentang Perbankan Islam. Objektif kelab kami ialah ingin membantu pelajar-pelajar jurusan Perbankan Islam ini supaya dapat meningkatkan lagi pencapaian di dalam akademik dan menjadi wakil suara bagi pelajar-pelajar Perbankan Islam. Kini, kami mempunyai seramai 238 ahli bersama 14 ahli jawatankuasa secara amnya.
Di bawah kelab kami, kami telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk menarik perhatian warga UiTM untuk lebih mengenali kelab kami ini. Memandangkan bermula pada semester yang lepas semua pelajar dikehendaki duduk di rumah akibat pandemik Covid-19, kelab kami telah pun mengambil inisiatif untuk melaksanakan aktiviti kelab kami secara atas talian. Aktiviti yang telah dijalankan pada semester yang lepas ialah pertandingan melukis poster yang berkaitan dengan isu semasa bertemakan membanteras pemandu mabuk. Pertandingan yang kami adakan ini hanya terbuka kepada warga UiTM Cawangan Kelantan sahaja iaitu Kampus Machang dan Kampus Kota Bharu. Alhamdulillah, aktiviti yang kami jalankan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan telah berjalan dengan lancarnya.