Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara UiTM Cawangan Kelantan Dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Bagi Projek: Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre

KOTA BHARU, 3 April - Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan amat bertuah kerana berpeluang memeterai Memoradum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam bagi Projek Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre (KB3D). Melalui MoU ini, nama UiTM akan semakin dikenali ke tahap tertinggi terhadap jalinan bersama industri serta komuniti menerusi penyelidikan berteraskan EduTourism ini. 

 Projek KB3D ini merupakan jalinan kerjasama antara Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) dengan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan. UiTM memainkan peranan sebagai pakar rujuk, mengangkat keilmuan para pendidik serta mahasiswa yang cemerlang ke dalam satu bentuk pemindahan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran melangkau sempadan (seni kepada komuniti) melalui projek, pembuatan karya kreatif, seni instalasi serta lukisan mural 3 Dimensi.

Projek telah berjaya disempurnakan selama 3 bulan bermula September, siap pada November 2021 dan mula dibuka sepenuhnya pada 26 Disember 2021 di mana UiTM Cawangan Kelantan telah diberi kepercayaan oleh pihak MPKB-BRI untuk menguruskan pengoperasiannya. Terdapat sebanyak 44 buah galeri yang mengenengahkan  5 konsep seperti galeri manisan, galeri kotak graviti, galeri interaksi instalasi, galeri Waste-to-Art dan lukisan mural 3D di dalam muzium ini.

Muzium ini terletak di Tingkat 1, Bazar Tengku Anis yang merupakan kawasan strategik dikelilingi oleh pusat tarikan pelancong, terutamanya Nasi Ulam Cikgu, Masjid Muhammadi, KALA Sentral serta Dataran Muhammadi yang sering mempunyai pengunjung. Fasa pembinaan pertama ini bermula dengan keluasan keseluruhannya sebanyak 12,000 kaki persegi dengan menggunakan lot-lot sedia ada melalui pengubahsuaian serta rekabentuk bersesuaian dengan konsep sebuah galeri. Ia juga menempatkan kemudahan letak kereta yang luas, tangga bergerak, permandangan yang cantik, ruang menunggu, kaunter tiket, tandas pengunjung yang bersih, galeri jualan serta air minuman percuma disediakan, projek ini dilihat mampu menjana dan memberi impak serta tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pelancong yang dahagakan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi boleh menjadikan KB3D sebagai pilihan utama untuk dilawati. Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Persembahan dan pameran yang disediakan akan memberi kepuasan, berbaloi dengan wang yang dibelanjakan. Ia dibuka kepada umum setiap hari mulai pukul 10:00 pagi hingga 6:00 petang, dengan tiket berharga RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak serta pelajar sekolah.

#UiTMCawanganKelantan

#MajlisPerbandaranKotaBharuBandarRayaIslam

#KotaBharu3DArt&HeritageCentre

#KB3D

#ArtHeritage