Majlis Memeterai Kerjasama Tiga (3) Perjanjian (MoA) Secara Maya Antara Universiti Teknologi Mara, Malaysia (UiTM) dan Universitas Pembangunan Veteran Jawa Timur (UPNVJT), Indonesia

MACHANG, 23 Mac - Universiti Teknologi MARA telah memeterai tiga (3) Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Pembangunan Veteran Jawa Timur (UPNVJT), Indonesia secara maya pada hari Selasa, 15 Mac 2022. Tiga Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut adalah pertukaran pelajar, pertukaran pensyarah dan simposium bersama. Memorandum Perjanjian tersebut bertujuan untuk mengukuhkan lagi usahasama akademik yang telah terjalin antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan UPNVJT demi kecemerlangan kedua-dua universiti.

Memorandum Perjanjian ini ditandatangani oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, (Menjalankan Tugas Rektor) dan Rektor UPNVJT, Profesor Dr. Ir. Akhmad Fauzi, M.MT., IPU. Memorandum ini juga ditandatangani oleh Timbalan Rektor Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Hj. Ghazali Osman (UiTM) dan Dr. IR. Sukendah, MSc., Timbalan Rektor Akademik, UPNVJT, sebagai saksi mewakili universiti masing-masing.

Tiga (3) Memorandum Perjanjian (MoA) ini akan berjalan selama tiga tahun bermula 15 Mac 2022 dan berakhir pada 14 Mac 2025. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran di era pandemik COVID-19, pembatasan aktiviti fizikal tidak menghalang daripada berlangsungnya acara ini. Ia juga tidak membataskan kecemerlangan akademik kerana dengan bantuan teknologi, perkembangan ilmu dapat disebarkan tanpa batasan dan sempadan.

Sehingga kini, aktiviti akademik seperti seminar, pertukaran pelajar dan pensyarah serta aktiviti penyelidikan telah terjalin antara Fakulti Perakaunan UiTMCK dan Fakultas Perakaunan UPNV Jawa Timur. Aktiviti tersebut berjaya mendedahkan pelajar dan pensyarah kepada budaya yang berbeza, ilmu yang lebih luas, persekitaran terbuka dan merapatkan jurang perbezaan sekaligus mengeratkan hubungan antara dua negara serumpun.

Professor Madya Dr. Zulkifli dalam ucapannya berkata, dengan termeterai memorandum kesefahaman ini, fakulti lain di UiTM turut berpeluang mengadakan kerjasama bersama UPNV Jawa Timur.  Beliau juga mengesyorkan supaya banyak lagi program dirancang untuk memenuhi keperluan Industry 4.0, di samping bersedia menghadapi era Society 5.0. Harapan beliau supaya kerjasama antara UiTM dan UPNV Jawa Timur akan terus berjalan lancar walaupun berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 atau apa-apa halangan di masa hadapan.

Sementara Rektor UPNVJT, Professor Dr. Ir. Akhmad Fauzi, M.MT., IPU, mengungkap kegembiraan beliau kerana majlis ini dapat dilangsungkan meskipun dunia masih dibelenggu situasi mencabar. Beliau juga amat berpuas hati dengan setiap aktiviti yang dirancang dan dijalankan antara Fakulti Perakaunan UiTMCK dan Fakultas Perakaunan UPNV Jawa Timur.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dr. Noor Marini Abdullah (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan), Profesor Madya Dr. Maheran Zakaria (Ketua Projek MoA Signing Ceremony), Puan Lai See May (Liaison Officer, Department of International Affairs), serta ketua-ketua pusat pengajian lain yang mewakili UiTMCK. Manakala UPNV Jawa Timur disertai oleh Dr. Dwi Suhartini (Ketua Projek MoA Signing Ceremony), pengurusan tertinggi, dan warga UPNVJT.

Majlis turut menyaksikan persembahan tarian dan nyanyian tradisional kedua-dua negara untuk menonjolkan kebudayaan negara masing-masing. Kedua-dua universiti juga bertukar cenderahati iaitu kain batik hasil nukilan warga universiti masing-masing. Acara tersebut tamat dengan jayanya pada pukul 5:30 petang dengan sesi bergambar.