Majlis Hari Kemuncak Inovasi 2023 & Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan

MACHANG, 25 April 2024 - Majlis Hari Kemuncak Inovasi 2023 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Khamis, 18 April 2024 bertempat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan. Pada tahun ini, Akademi Pengajian Bahasa dan Perpustakaan Tengku Anis telah diberikan mandat sebagai penganjur bersama majlis dan turut dibantu oleh para staf dari unit dan bahagian utama universiti. Majlis pada kali ini amat bermakna kerana UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, yang buat julung kalinya hadir ke Kampus Machang bagi menyempurnakan acara perasmian seterusnya menyampaikan Amanat Naib Canselor kepada warga UiTMCK. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurusan Tertinggi universiti, mantan-mantan rektor UiTMCK, para pesara, tetamu jemputan luar daripada pelbagai agensi serta delegasi daripada Quanzhou Vocational & Technical University (QVTU), China.

Bertemakan “Bekwoh Lebaran @ Inovasi”, majlis kali ini tampil sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Program tahunan ini menyaksikan gabungan beberapa acara penting di sepanjang majlis berlangsung. Seperti kebiasaan, Majlis Hari Kemuncak Inovasi saban tahun diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada staf-staf yang telah menampilkan perkhidmatan cemerlang dan menyumbang kepada kejayaan dan kegemilangan universiti. Istimewanya pada kali ini, “Bekwoh Lebaran @ Inovasi” bukan sahaja diadakan untuk meraikan kejayaan staf UiTMCK bagi tahun 2023, tetapi ianya juga merupakan majlis yang penuh kegembiraan dan kesyukuran bagi menyambut kemeriahan Syawal 1445H melalui sambutan Aidilfitri 2024 di peringkat UiTMCK. Ini bertepatan dengan pilihan istilah ‘bekwoh’ di dalam tema majlis yang merupakan loghat Kelantan yang membawa maksud ‘kenduri’.

Sebanyak 149 anugerah telah dikurniakan kepada mereka yang terpilih daripada pelbagai fakulti, unit dan bahagian di UiTMCK. Anugerah-anugerah tersebut termasuklah Anugerah Staf Contoh, Anugerah Akademik Universiti, Anugerah Kualiti, Anugerah Sukan, Anugerah Persatuan, Anugerah Pensyarah Contoh, Anugerah Khas Rektor, Jasamu Dikenang, dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Kesemua anugerah adalah bagi pencapaian tahun 2023. Selain daripada penyampaian anugerah, intipati lain pengisian program pada tahun ini adalah pelancaran rekaan terkini Batik Kemuning UiTMCK, pelancaran Amalan EKSA, penyampaian mandat Majlis Kemuncak Inovasi UiTMCK 2024, Ikrar Kualiti dan majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) antara UiTM dan QVTU.

Pada majlis ini juga, pihak Pengurusan Universiti bersama Naib Canselor UiTM mengambil peluang menyampaikan sumbangan kepada dua orang pelajar UiTMCK iaitu Saudari Nurul Adlin Asyiqin Zulkifli di Kampung Baung, Pengkalan Chepa dan Saudari Nurul Izzatiey Natasha Ahmad Fauzi di Kampung Baru Sungai Gua Musang, Kelantan yang telah menimpa musibah di mana rumah kediaman mereka terbakar, dan atas rasa keprihatinan dan menjaga kebajikan pelajar, pihak universiti memberikan sumbangan yang sama-sama dikumpul oleh pihak Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf (UZSW), fakulti dan rakan-rakan di kolej kediaman UiTMCK bagi meringankan beban pelajar. Syukur ke hadrat Ilahi, setiap segmen pengisian program berjalan dengan teratur, lancar dan mengikut jadual.

Kemeriahan majlis juga dihangatkan lagi apabila para hadirin disajikan dengan beberapa sesi cabutan bertuah, nombor pekerja yang bertuah dipaparkan di skrin layar hadapan dan telah menerima pelbagai jenis hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur. Selain itu, sebanyak 7 hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah televisyen berjenama Samsung 43 inci, cincin emas dan kepingan emas juga telah disampaikan secara terus kepada penerima yang bertuah di akhir majlis. Kesemua hadiah disumbangkan oleh penaja-penaja daripada pelbagai agensi luar yang murah hati memberikan sokongan kepada penganjuran majlis yang amat istimewa ini.

Usai sahaja acara utama iaitu Majlis Hari Kemuncak Inovasi 2023 di sekitar jam 11:45 pagi, majlis diteruskan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 UiTMCK. Warga UiTMCK terus dipersilakan menjamah hidangan juadah lebaran yang telah tersedia oleh penganjur dan bahagian-bahagian utama universiti. Pihak universiti juga berbesar hati menerima kunjungan mantan-mantan Rektor UiTMCK, para pesara dan juga wakil-wakil dari pelbagai agensi luar yang turut sama menyerikan lagi sambutan lebaran. Pelbagai santapan enak dan lazat disediakan termasuklah kambing golek, set nasi hujan panas, laksa Kelantan, laksa Penang, satay, kuih-muih, aiskrim dan pelbagai jenis air minuman yang menyegarkan.

Akhir kata, setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menyumbangkan idea dan tenaga serta memberikan komitmen yang padu bagi memastikan majlis yang dirancang berlangsung dengan sempurna. Syabas dan tahniah juga turut dipanjangkan kepada para penerima anugerah 2023. Semoga pengiktirafan ini akan terus membakar semangat seluruh warga UiTMCK untuk sentiasa berusaha demi melakar kecemerlangan dan demi kegemilangan buat universiti yang tercinta.

Penyedia Laporan:
Puan Salwani Mohd Salleh
Setiausaha 1
Majlis Hari Kemuncak Inovasi 2023 dan Sambutan Hari Raya 2024