Program Iftar Bersama Rektor UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 14 April – Sempena bulan Ramadan 1445H, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Infostruktur, Bahagian Pengurusan Fasiliti dan Unit Latihan & Kepimpinan UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan satu lagi program pada sesi petang iaitu Majlis Iftar Bersama Rektor dengan kerjasama dari ahli qariah Masjid Al-Bakti Kampung Belukar dan program ini terbuka kepada semua warga UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang dan Kota Bharu pada 1 April 2024.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk merapatkan silaturahim serta muhibah dalam kalangan staf UiTM Cawangan Kelantan dan ahli qariah Masjid Al-Bakti Kampung Belukar. Di samping itu, program ini bertujuan untuk melahirkan staf yang seimbang dalam aspek intelektual dan rohani serta membuka peluang menjalinkan hubungan kemasyaratan bersama ahli qariah Masjid Al-Bakti Kampung Belukar. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan semangat kerjasama dengan membuat persiapan berbuka puasa secara berjemaah dan memupuk sifat saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Secara keseluruhan, program yang diadakan berjalan dengan lancar secara bersemuka di dewan solat dan juga ruang legar Masjid Al-Bakti. Program dimulai dengan ucapan alu-aluan dan bacaan doa yang dipimpin oleh pengerusi majlis dan ucapan alu-aluan yang dilontarkan sebagai tanda bermulanya kemeriahan Majlis Iftar Bersama Rektor.

Program ini diteruskan dengan slot ucapan sepatah dua kata daripada Rektor UiTM Cawangan Kelantan iaitu Prof. Dr. Abdol Samad Nawi. Di samping itu, program ini diteruskan lagi dengan pemberian cenderamata berupa hamper kepada wakil pelajar tahfiz dan juga wakil ahli qariah Masjid Al-Bakti sebagai tanda terima kasih kerana pihak masjid memberi keizinan kepada UiTM Cawangan Kelantan untuk mengadakan program di masjid tersebut. Seterusnya, program diteruskan dengan slot bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh ahli jawatankuasa Masjid Al-Bakti sehingga selesai. Akhir sekali, tepat jam 7:22 petang, azan berkumandang sebagai tanda masuknya waktu Maghrib dan para peserta mula menjamah hidangan yang telah disediakan oleh ahli qariah Masjid Al-Bakti Kampung Belukar.

Akhir kata, seramai 120 orang daripada kalangan ahli qariah, pelajar-pelajar tahfiz, staf UiTM Cawangan Kelantan serta mahasiswa dan mahasiswi UiTM Kampus Machang yang hadir bagi memeriahkan dan menjayakan program yang berlangsung di Masjid Al-Bakti. Pihak masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UiTM Cawangan kelantan kerana memilih masjid mereka sebagai destinasi untuk menjayakan Program Iftar Bersama Rektor dan pihak masjid juga berharap agar masjid mereka sentiasa menjadi pilihan bagi UiTM Cawangan Kelantan untuk melaksanakan apa-apa aktiviti kerohanian yang melibatkan pihak UiTM dan juga ahli qariah mereka. Hal ini kerana program seperti ini dapat menyemai sikap kemasyarakatan dalam kalangan staf, pelajar-pelajar serta ahli qariah masjid.

Penyedia Laporan:
Encik Mohamed Izham Mohamed Nor
Kerani (Hal Ehwal Islam)
Unit Hal Ehwal Islam