Program Kursus Pengurusan Jenazah Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn Dengan Kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK)

MACHANG, 28 Disember 2023 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah di Pusat Islam, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa serta mahasiswi UiTM Cawangan Kelantan dan ianya telah disertai oleh 50 orang peserta. Sesi penerangan diberikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Encik Mohd Kashuadi Abdul Ghani. Kursus bermula pada jam 9:00 pagi dan berakhir pada jam 2:00 petang.

Matlamat program ini adalah untuk menambah ilmu pengetahuan tentang cara pengurusan jenazah berdasarkan islam, melahirkan mahasiswa yang boleh membantu masyarakat berdasarkan ilmu yang telah dipelajari serta mengembangkan lagi ilmu berkaitan pengurusan jenazah  secara menyeluruh.

Program ini dihadiri Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar iaitu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli serta Staf Residen Kolej Tun Hussein Onn iaitu Encik Muhammad Faiz Iskandah dan Encik Mohammad Amir Taufik Abu Hassan. Program ini turut disertai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 22/23, Saudara Muhammad Izz Irfan Abdul Latif.

Peserta Kursus Pengurusan Jenazah telah memberi kerjasama dan perhatian sepenuhnya sepanjang program dijalankan. Banyak pengisian yang telah diberikan oleh Ustaz Kashuadi iaitu bermula dengan sesi ceramah sehingga sesi amali. Semua peserta dapat mempelajari cara mengkafankan jenazah dan menyempurnakan solat jenazah dengan betul. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli amat terharu dan berbangga kerana JPKTHO berjaya mengadakan program ini dan berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta dalam penglibatan mereka dalam program ini. Beliau berharap agar lebih banyak lagi program berbentuk ilmiah dan dakwah dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Alya Maisarah Nor Hisham
Pengarah Program
Kursus Pengurusan Jenazah