Program Bantuan UiTM Prihatin Kepada Golongan Pelajar B40 UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 14 Disember 2020 – Seramai 41 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang menerima sumbangan dalam program Bantuan UiTM Prihatin berjumlah RM20,500.00 yang dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed bertempat di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang.

Program anjuran Unit Misi Akademik dan Pra-Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Kelantan ini adalah bertujuan untuk meringankan beban dan memberi bantuan kepada para pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan terutama mereka yang berasal daripada keluarga B40. Setiap pelajar menerima wang sumbangan sebanyak RM500.00. Inisiatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program Bantuan UiTM Prihatin sejajar dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar golongan B40 menjadi insan yang berjaya dan cemerlang. Seramai 41 orang penerima yang layak mendapat bantuan pada kali ini.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, program sumbangan seperti Bantuan UiTM Prihatin ini dapat merealisasikan hasrat pihak kerajaan agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat merapatkan hubungan bersama-sama masyarakat sekaligus memperkasakan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia. Pelajar-pelajar dinasihatkan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperbaiki kehidupan keluarga pada masa depan.

Selain itu, program Bantuan UiTM Prihatin ini secara tidak langsung dapat membantu memajukan dan memberi sumbangan terhadap golongan B40 daripada segi pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara. Tambahan lagi, pelancaran Bantuan UiTM Prihatin yang menjadi wadah pemerkasan pendidikan anak bangsa ini terus diperluaskan untuk membantu melebar luas akses Pendidikan Tinggi seterusnya memberi peluang kepada pelajar golongan B40 untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta menampung kekurangan bagi tujuan pendidikan.

 

Disediakan : Unit Komunikasi Korporat UiTMCK