Bengkel Penerbitan Bersama Ketua Editor Journal of Quality Measurement and Analysis (JQMA)

MACHANG, 29 November 2020 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) telah menganjurkan bengkel penulisan bersama Ketua Editor Journal of Quality Measurement and Analysis (JQMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 29 November 2020 yang lalu.  Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan menggalakkan penghasilan artikel jurnal berimpak tinggi sekaligus membudayakan aktiviti penyelidikan di kalangan pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Cawangan Kelantan dan seterusnya meningkatkan KPI UiTM Cawangan Kelantan.

 

Program ini telah dijalankan secara webinar memandangkan masalah pendemik yang melanda negara sekarang. Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dengan kehadiran peserta yang terdiri daripada pensyarah FSKM serta staf akademik dari IPT yang lain. Penceramah PM Dr. Liong Choong Yeun merupakan Ketua Editor Journal of Quality Measurement and Analysis (JQMA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau sangat berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan.  Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pusat Pengajian FSKM, Dr. Wan Zakiyatussariroh Wan Husin yang turut diselitkan dengan amanat kepada warga FSKM berkaitan budaya menulis dan penyelidikan serta KPI yang diperlukan. Program ini turut dirasmikan oleh Timbalan Rektor PJI, Dr. Syerina Azlin Md Nasir. Antara pengisian bengkel adalah berkenaan asas-asas penulisan, tips-tips penulisan, merangka Penulisan Saintifik: Penyediaan Abstrak, Pengenalan & Kaedah Penyampaian, Keputusan: Teks, Jadual dan Rajah, Penulisan: Perbincangan dan Kesimpulan serta menyediakan Rujukan.

Para peserta turut berkesempatan mengajukan pelbagai soalan yang berkaitan dengan penulisan dan penerbitan. Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar. Melalui bengkel ini, ia dapat memastikan budaya penghasilan dan penerbitan artikel berimpak tinggi sentiasa berterusan di kalangan pensyarah UiTM Cawangan Kelantan. Selain itu, para peserta dapat berkongsi idea dan bertukar pendapat dengan penceramah. Diharapkan bengkel sebegini dapat diteruskan lagi dimasa-masa akan datang dan lebih ramai peserta dapat menyertainya agar ilmu yang diperolehi dapat dijana kearah kebaikan UiTM khasnya dan negara amnya.

Disediakan oleh :W.Nurfahizul Ifwah W.Alias

Setiausaha Program Bengkel Penerbitan Bersama Ketua Editor Journal of Quality Measurement And Analysis (JQMA).