Pematuhan SOP ibu bapa elak anak kecil dijangkiti COVID-19

Oleh Dr Mohd Hafiz Zulfakar dan Dr Wan Marhaini Wan Omar - Jun 12, 2021

Sejak 25 Januari hingga 31 Mei lalu, terdapat 82,341 kes positif membabitkan golongan berusia bawah 18 tahun. Tambah membimbangkan, hampir 30,000 kes positif ini dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

Amat mengelirukan kerana golongan kecil ini semestinya tidak ke mana-mana dengan sendiri. Logik akal memberitahu kita, mereka masih di bawah pengawasan sepenuhnya ibu bapa atau penjaga.

Tidak mungkin si kecil di bawah usia 12 tahun sudah tahu merentas negeri atau keluar membeli-belah di pasar raya. Lantas, bagaimana jangkitan boleh berlaku?

Difahamkan banyak kes dalam kalangan bayi dan kanak-kanak bawah usia enam tahun berpunca daripada jangkitan di taman dan pusat asuhan.

Ada berpunca daripada pengasuh dan penjaga yang sendiri dijangkiti tanpa disedari. Bahkan ada juga kes bayi dan kanak-kanak mendapat jangkitan awal dari rumah. Bagaikan bongkah domino dijatuhkan, mereka ini kemudian menjangkiti sahabat di pusat asuhan.

Bagi yang berusia antara enam hingga 18 tahun pula, memang berkali-kali ibu bapa dan penjaga memberi didikan mengenai kepentingan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri. 

Namun, siapa akan memantau mereka ini apabila sudah bertemu, bermain dan bergurau senda bersama rakan mahupun saudara sebaya?

Lantas, gesaan dan amaran pihak berwajib untuk mengenakan tindakan undang-undang kepada ibu bapa yang membawa anak berusia kurang 18 tahun ke kawasan awam berisiko tinggi bertepatan.

Masih ada segelintir ibu bapa membawa mereka ke tempat terbuka seperti pasar raya. Malah, sikap ibu bapa dan penjaga yang taasub beraya ketika Aidilfitri baru-baru ini juga amat dikesali.

Jika dilihat angka 200,000 yang melanggar perintah rentas daerah, sudah pasti golongan bawah 18 tahun pun terbabit sama. Ini belum lagi yang menziarah raya di kawasan setempat.

Golongan bawah usia 18 tahun ini khususnya bayi dan kanak-kanak secara langsung menjadi mangsa.

Sudah pasti ibu bapa yang menjadi tuan rumah tidak sempat memantau anak mereka di kala sibuk melayan tetamu. Tetamu yang entah dari mana datangnya sebelum berkunjung ke rumah kita pula, ada kemungkinan membawa bersama virus ini.

Jangkitan ketika aktiviti ziarah menziarahi senang bertukar tangan terutama ketika bersalaman dan berpelukan. Bayangkan pula si bayi comel yang sering menjadi perhatian umum, dipegang, didukung dan dicium acap kali tetamu hadir.

Persoalannya, adakah ini berpunca daripada orang dewasa yang masing-masing mementingkan diri sendiri sehingga tergadai kesihatan anak?

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bukan sahaja warga emas golongan berisiko, tetapi kanak-kanak turut mudah terdedah kepada ancaman virus ini.

Harus diingat, semua orang dewasa terutama ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti.

Jangan disalahkan golongan bawah usia 18 tahun, khususnya bayi dan kanak-kanak kecil ini.

Pada mereka, perkataan SOP (prosedur operasi standard) hanya ungkapan yang terngiang-ngiang dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka tidak faham maksud SOP, bahkan tidak tahu bagaimana virus ini merebak. Justeru, pematuhan kepada SOP dan sekatan pergerakan kendiri antara tindakan segera yang perlu dilaksanakan ibu bapa.

Pembendungan ini adalah kritikal bagi mengelak virus terus merebak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

Ingatlah, jangkitan COVID-19 tidak mengenal usia. Setiap kita perlu percaya bahawa COVID-19 adalah benar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel penuh :

www.bharian.com.my/rencana/komentar/pematuhan-sop-ibu-bapa-elak-anak-kecil-dijangkiti-covid-19